Pasangan suami isteri rentung terbakar dalam lori kontena. Pemandu treler Mazlan Molot, 48, dan isteri Fauziah Uyop, 40-an yang rentung dalam kebakaran kenderaan berat itu semalam sering bersama menghantar barang.
Kedua-duanya meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira pukul 8.40 pagi di Kilometer 259.6 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Port Dickson di sini.
Ibu Mazlan, Mariam Kassim, 69, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
“Ketika itu dia pulang ke rumah di Felda Palong 2, Jempol. Dia ada berikan duit kepada saya dan anak-anak saudaranya. Dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap.
“Saya tahu dia sering bawa isterinya ke mana-mana kerana isterinya tidak bekerja dan dapat menemani dia menghantar barangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di sini semalam.
Mariam berkata, anak keduanya itu sudah12 tahun mendirikan rumah tangga, namun pasangan suami isteri itu tidak dikurniakan zuriat.
“Isterinya sebelum ini menjadi pengasuh kanak-kanak namun berhenti kerja dan sering mengikuti Mazlan menaiki treler untuk menghantar barangan,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Yaakob Molot, 51, yang juga seorang pemandu lori memberitahu, syarikat tempat adiknya bekerja ada menghubungi memaklumkan kejadian tersebut.
“Saya dimaklumkan dia baru bekerja di syarikat tersebut yang menghantar barangan kitar semula. Kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan biji plastik yang dipandu Mazlan dipandu dari Klang, Selangor menuju ke Senawang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa disyaki hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kanan lalu merempuh tembok tengah penghadang lebuh raya.
“Akibat pelanggaran tersebut telah menyebabkan treler itu terbakar. Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh bomba di lokasi kemalangan itu,” katanya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Meletup! pic.twitter.com/iUhtFkEq1h
— Don_Pablo ™️ (@PAB10I5) January 20, 2023