Pasangan suami isteri baling pasir, tendang motosikal di jambatan Pulau Pinang ditangkap polis.
Pasangan suami isteri yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang dari arah pusat bandar menghala Seberang Perai diberkas polis hari ini.
Tangkapan ke atas lelaki berusia 50-an dan isterinya, 30-an yang dipercayai pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) itu dilakukan di pusat bandar pada tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, bertindak atas video tular yang dimuat naik pemilik akaun Facebook @FaizulJojoe pihaknya melakukan tangkapan ke atas pasangan tersebut.
Jelas beliau, berdasarkan video tersebut pihaknya mendapati dua suspek itu merupakan pelaku dan mereka dilihat bertindak membaling objek disyaki pasir serta cuba menendang motosikal yang ingin memotong mereka ketika melalui jambatan tersebut.
“Siasatan terhadap pasangan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baruaaaa kat Penang ni elok tendang je ke laut tu. ni Kalau dapat kat polis nanti mesti keluar kad oku. pic.twitter.com/RVuYfxw0CT
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) February 6, 2024
“Semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua mereka mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2021 dan tahun ini.
“Pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi permohonan reman terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04 538 2222 bagi membantu siasatan.