Pasangan ‘romantik’ itik dan kucing berjemur, santai bersama di tasik Arab Saudi raih perhatian ramai.
Pelik tapi itu realitinya apabila seekor itik bersahabat baik dengan kucing dan sering menghabiskan masa bersama berjemur serta bersantai di tepi sebuah tasik di Arab Saudi, sehingga videonya tular di media sosial.
Gulfnews melaporkan, digelar ‘pasangan Al Khubar’, haiwan itu dilihat bermain bersama-sama di tepian tasik.
Sebaik berita mengenai persahabatan mereka tersebar di media sosial, orang ramai yang kagum berpusu-pusu ke tasik terbabit untuk melihat pasangan itu, lapor media Saudi.
Kemasyhuran pasangan itu juga mengatasi Khubar Corniche, sekali gus menarik pengunjung dari serata pelusuk.
Seorang penduduk Jeddah mengakui ke tasik berkenaan semata-mata untuk melihat persahabatan yang disifatkan ‘mustahil’.
Seorang lagi pengunjung sanggup datang dari Makkah untuk melihat sendiri pasangan itu dan menyifatkannya sebagai satu ‘keajaiban’ kepada Rotana Khalijia TV.
Selain itu, beberapa pengunjung lain menggelarkan pasangan itu sebagai ‘kisah romantik’.
Menjelaskan hubungan misteri duo itik dan kucing itu, laman sesawang berita Saudi Al Marsd mendedahkan itik bernama Koki itu dibesarkan dalam kalangan kucing di sebuah bandar yang terletak 1,500 kilometer dari situ.
🩷🩷🩷🩷 pic.twitter.com/caS25Okjqn
— 🄺🎋 (@Todoroki__5) February 2, 2024
Haiwan itu kemudian dibawa oleh saudara pemiliknya ke Al Khubar.
Pada mulanya, dia diletakkan bersama itik tasik di bandar itu, tetapi amat mengejutkan haiwan itu memilih untuk bersahabat dengan kucing yang berada di situ.
Menurut laman web itu, kecenderungan Koki mungkin kerana ia dibesarkan dalam kalangan kucing.