
Pasangan kembar menang saman RM6.6 juta setelah dituduh menipu dalam peperiksaan
Pasangan kembar menang saman RM6.6 juta setelah dituduh menipu dalam peperiksaan. Menipu dan meniru ketika dalam peperiksaan adalah kesalahan yang serius tambahan rakan ‘subahat’ mempunyai jawapan yang sama.
Namun lain pula dengan pasangan kembar di Amerika Syarikat ini apabila mereka dituduh menipu apabila jawapan kertas peperiksaan mereka hampir sama sedangkan mereka duduk dalam jarak yang jauh.
India Times melaporkan, Kayla dan Kylie Bingham didakwa melakukan perbuatan itu ketika menduduki peperiksaan akhir di Universiti Perubatan Carolina Selatan (MUSC) pada Mei 2016 iaitu ketika tahun kedua pengajian
Kembar berusia 24 tahun ketika itu, didakwa menipu selepas pengawas ujian menyemak keputusan peperiksaan mereka dan mendapati 296 daripada 307 soalan dijawab adalah sama termasuk 54 yang salah.
Menurut fakta kes Jawatankuasa Kehormat sekolah mendakwa kembar itu memberi isyarat kepada satu sama lain dan memberikan nota.
Justeru, jawatankuasa itu membuat kesimpulan pasangan kembar berkenaan menipu dalam peperiksaan.
Bagaimanapun, kembar itu memaklumkan mereka duduk selang 1.2 hingga 1.5 meter di dalam dewan peperiksaan dan tidak dapat melihat satu sama lain.
Mereka kemudian merayu keputusan jawatankuasa itu di mahkamah dan memfailkan tuntutan saman terhadap universiti.
Mereka berhujah bahawa bahawa sepanjang tempoh pengajian kedua-dua mereka mempunyai prestasi yang sama secara akademik malah olahraga selama bertahun-tahun dan ia adalah fenomena biasa untuk pasangan kembar.
Berikutan itu, bulan lalu, mahkamah memutuskan sekolah bersalah kerana memfitnah kembar berkenaan dan dituntut membayar sejumlah AS $1.5 juta (kira-kira RM6.6 juta) sebagai ganti rugi.
Difahamkan, kembar itu mempunyai markah yang sangat serupa pada banyak peperiksaan seperti seperti ujian standard (SAT), ujian kemasukan kolej perubatan (MCAT) dan ujian kemasukan sekolah undang-undang (LSTAT).
Menurut Nancy Segal, seorang profesor di California State University, Fullerton’s Twin Studies Center, beberapa kajian mendedahkan bahawa ramai kembar seiras sering melakukan yang serupa dalam ujian dan aktiviti kompetitif yang lain.