Akibat takut ditangkap berkhalwat, pasangan kekasih nekad merempuh kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) daerah di Jalan Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.45 malam ketika dua anggota membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan itu dan berhenti untuk memeriksa pacuan empat roda Ford Ranger yang dinaiki pasangan terbabit.
Beliau berkata, anggota terbabit memberhentikan kereta peronda di belakang pacuan empat roda tersebut yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan sunyi serta gelap.
“Anggota peronda memberhentikan kenderaan di belakang Ford Ranger itu dengan menyalakan lampu beacon light, namun pemandunya cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan pasukan polis.
Suspek lelaki berusia 44 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan bersama seorang wanita berusia 25 tahun di dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, pasangan berkenaan didapati bertindak sedemikian kerana takut ditangkap khalwat.
“Kejadian itu menyebabkan MPV Polis mengalami kerosakan pada pintu hadapan sebelah kiri penumpang, pecah cermin tingkap dan pintu tidak boleh dibuka lagi.
“Kedua-duanya ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.