Dalam kehidupan berumah tangga, pasti ada ujian yang perlu dihadapi oleh pasangan suami isteri tidak kiralah baru berkahwin ataupun sudah hidup bersama lebih 10 tahun. Namun, ujian itulah yang membuatkan pasangan itu lebih matang.
Baru-baru ini, tular di TikTok satu video memaparkan sesi temu bual oleh seorang lelaki warga Rusia bersama satu pasangan suami isteri yang sudah berkahwin selama 35 tahun.
Nampak bahagia, hidup bersama 35 tahun
Alexey Brock melalui akaun TikTok miliknya bertanya mengenai tips perkahwinan daripada pasangan suami dan isteri itu. Mereka yang bernama Encik Salman dan Puan Liza Abu Bakar berjumpa di Pulau Langkawi, Kedah nampak mesra dan tidak segan untuk berkongsi pesanan tentang perkahwinan.
Pada mulanya, Alexey bertanya mengenai sifat Puan Liza yang Encik Salman sukakan. Jawabnya, Puan Liza seorang yang baik dan mereka lebih serasi selepas 30 tahun hidup bersama. Soalan yang sama ditanyakan kepada Puan Liza mengenai Encik Salman.
Semua karakter tentang dia.. saya suka. Kami lebih serasi selepas umur 30 tahun. – Encik Salman
Dia seorang yang tenang dan sabar. Saya ni selalu marah tetapi dia tidak. Itulah tentangnya yang saya sangat hargai. – Puan Liza
Kongsi pesanan tentang perkahwinan
@alexey.brock 🇲🇾💍What makes a Happy Marriage? This lovely couple was kind to share their thoughts from experience of 35 years. #Love #LoveStory #Marriage #Malaysian #Malay ♬ original sound – Alexey.brock
Mereka yang sudah hidup bersama selama 35 tahun, pasti ada tips untuk mengekalkan perkahwinan. Jadi, Alexey meminta kedua-dua mereka berkongsi tips perkahwinan.
Orang tua-tua cakap, sebelum kahwin.. buka mata luas-luas dan tengok bakal pasangan. Tapi, bila lepas kahwin.. anda kena tutup ‘separuh mata’. – Encik Salman
Puan Liza pula berpendapat pasangan perlu berkompromi dan tidak memandang benda yang negatif terhadap pasangan.
Bila pasangan tu bercinta sebelum kahwin, semua nampak baik tapi bila lepas kahwin, perangai sebenar pasangan tu kita akan tahu. Kalau betul-betul sayangkan pasangan, jangan melihat benda yang negatif. Kalau anda mula menilai yang negatif, pasangan anda pun akan menilai benda yang sama. Itu tidak akan membantu perkahwinan. – Puan Liza
Katanya lagi, pasangan tidak perlu bercerita tentang hal rumah tangga kepada orang luar kerana orang lain akan menilai buruk pasangan anda.
Contohnya, beritahu kepada ibu bapa, kawan-kawan.. mereka akan menilai suami kamu. Bila mereka tahu, mereka akan ada persepsi buruk tentang pasangan anda.
Alexey walau bagaimanapun berterima kasih kepada mereka dan mendoakan hubungan Encik Salman dan Puan Liza sentiasa bahagia.
Di ruangan komen, ramai netizen memuji Encik Salman dan Puan Liza kerana berkongsi pesanan yang amat bermakna.