Orang ramai serbu kedai selepas ‘viral’ video wanita muda tebar roti canai.
Siapa sangka, video berdurasi 17 saat yang menunjukkan seorang gadis menebar roti canai yang tular di TikTok sejak Jumaat lalu telah menyebabkan Nor Syazwani Ab Ghani, 19, menjadi popular umpama selebriti.
Bukan sahaja tertarik dengan kemahiran menebar roti canai, ramai juga memuji kecantikan gadis itu dan mula ‘menyerbu’ gerai roti canai milik keluarganya yang terletak di Indera Mahkota 2, di sini.
Menurut Nor Syazwani, video tersebut dimuat naik oleh kakaknya, Nur Fitri, 27, bagi memperkenalkan gerai ‘Roti Canai Abah’ menerusi akaun TikTok Lilydeh.
“Kakak saya yang buat konten video itu, pada asalnya untuk memaklumkan kepada penduduk tempatan bahawa kami telah memulakan jualan roti canai pada hari pertama.
“Tetapi tidak sangka, video itu meraih 2.9 juta tontonan dan 6,890 perkongsian di TikTok. Selepas itu, ramai kawan-kawan termasuk bekas guru saya memberitahu bahawa video itu sudah tular di platform media sosial lain juga,” katanya di sini hari ini.
Nor Syazwani, anak keenam daripada lapan beradik, menjelaskan bahawa idea untuk menjual roti canai tercetus selepas mereka berbincang bersama ibu bapa. Sebelum ini, mereka pernah menjual roti canai sebagai sarapan ketika berniaga di Jalan Gambut, Kuantan, selama enam tahun.
“Memandangkan adik-beradik semua mahir menebar roti canai, kami mengambil keputusan untuk menjual roti canai dengan 10 kilogram tepung pada hari pertama.
“Hari kedua, kami masih menggunakan 10 kilogram tepung, tetapi dalam tempoh satu jam, roti canai habis gara-gara video yang tular itu. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kami telah menyediakan sehingga 35 kilogram tepung, iaitu kira-kira 800 keping roti canai sehari,” katanya.
@lilydeh Kedai bukak nahh 😘 #fyp ♬ Hitungan Cinta Speed Up – zy
Difahamkan, bukan sahaja penduduk tempatan yang membeli roti canai di gerainya, tetapi ada juga yang datang dari seluruh negeri seperti Rompin dan Raub semata-mata untuk mencuba menu tersebut.
Dalam pada itu, Nor Syazwani berkata selain gerainya diserbu pengunjung untuk merasai air tangannya, dia juga mengakui ada yang datang untuk berkenalan dan meminta nombor telefonnya. Namun, dia menolak permintaan itu kerana baginya, ia adalah sesuatu yang peribadi.
Bagaimanapun, dia memberitahu bahawa jika ada pengunjung yang mahu berbual atau merakam gambar bersama, mereka boleh datang ke gerainya dari jam 7 pagi sehingga 3 petang.
“Ada yang minta nombor telefon, tetapi saya tak boleh beri. Kalau nak berhubung, boleh melalui akaun TikTok atau Instagram saya, atau datang terus ke gerai,” jelasnya yang berketurunan Melayu Kelantan Thailand.