Orang Jepun pula tiru kereta Malaysia, sanggup ubah suai K-Car jadi Kelisa.
Selalunya, rakyat Malaysia lebih gemar mengubah suai kereta kebangsaan agar kelihatan seperti model keluaran Jepun kerana ia tampil lebih cantik dan sporty.
Namun, perkongsian seorang lelaki bernama Kenji Hoshino yang berasal dari Jepun telah menarik perhatian apabila beliau memaparkan hasil ubah suai Kei Car, iaitu kereta ringan buatan Jepun, menjadi seperti model Perodua.
Difahamkan, Kenji telah menggunakan kereta model Daihatsu Mira dan mengubah suai struktur kereta tersebut, yang asalnya mempunyai tiga pintu, menjadi dua pintu.
Selain itu, beliau juga melakukan perubahan kosmetik luaran, termasuk menukar emblem, untuk membuatkan keretanya kelihatan seperti model Perodua Kelisa.
Menariknya, Kenji turut memasang nombor plat yang serupa dengan nombor plat Malaysia untuk memberikan keretanya penampilan yang lebih asli, seolah-olah ia berada di negara ini.
Sebagai sentuhan akhir, Kenji mengecat keretanya dengan warna light gold, yang sangat ikonik di kalangan pemilik Kelisa di Malaysia.
Perkongsian Kenji di dalam grup Facebook Kelisa Owners telah menjadi perhatian netizen tempatan. Rata-rata mereka sangat teruja melihat bagaimana Kei Car berjaya diubah suai menjadi Kelisa dengan begitu sempurna.
Pada masa yang sama, ramai juga meluahkan rasa bangga kerana walaupun kereta Kelisa mungkin kelihatan biasa sahaja di Malaysia, ia dipandang tinggi oleh peminat automotif dari luar negara.