Nilai kekayaan Raffi Ahmad sebelum ceburi bidang politik buat ramai terkejut.
Pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Raffi Ahmad dilaporkan memiliki kekayaan sebanyak 1.03 trilion Rupiah atau RM282 juta.
Perkara itu didedahkan oleh Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia selepas Raffi atau Raffi Farid Ahmad, 38, mengisytiharkan hartanya, baru-baru ini.
Difahamkan, kekayaan pelakon dan usahawan itu terdiri daripada 45 bidang tanah serta memiliki bangunan di seluruh Indonesia yang dianggarkan bernilai 737 bilion Rupiah atau RM200 juta. Aset-aset tersebut terletak di beberapa kawasan seperti Jakarta, Depok, Tangerang, Bali, Bandung dan Makassar.
Bukan itu sahaja, aktor itu turut memiliki 23 buah kereta dan motosikal mewah yang dianggarkan bernilai 55 bilion Rupiah atau RM15 juta. Antara koleksi kereta pelakon berkenaan adalah Rolls Royce, Ferrari, Dodge SRT Hellcat, Lamborghini, motosikal Harley Davidson dan banyak lagi.
Raffi juga mempunyai aset harta bergerak lain yang bernilai 46.7 bilion Rupiah, bersamaan RM13 juta. Selain itu, beliau turut memiliki aset dalam bentuk sekuriti (surat berharga) yang bernilai 307 bilion Rupiah (RM84 juta), tunai dan setara tunai sebanyak 5.3 bilion Rupiah (RM1.4 juta).
Bagaimanapun, Raffi juga mempunyai hutang yang belum dilangsaikan sebanyak 136 bilion Rupiah atau RM37 juta. Meskipun memiliki kekayaan berjumlah RM282 juta, aktor ini bukanlah individu terkaya di Indonesia sebaliknya dia mendapat tempat ketiga daripada enam individu yang tersenarai.
Menurut sumber, Raffi memperoleh aset tersebut sebelum dia menyertai dunia politik.