Netizen bengang kereta ‘total lost’ dilanggar pemandu mabuk berlumba. Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4), jenis Mitsubishi Triton, remuk teruk apabila terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Persekutuan sekitar pukul 4 pagi semalam.
Menerusi ciapan oleh pemilik kenderaan tersebut yang dikenali sebagai @WahyuYordan, kemalangan berlaku gara-gara pemandu mabuk berlumba sehingga beberapa buah kereta terlibat dalam nahas itu.
“Permulaan 2023 yang muram. Kalau kita tidak langgar orang, orang langgar kita. Habis ‘total lost’ (musnah sepenuhnya) kereta aku. Tiada rupa kereta dah.
“Tiga kali kereta aku terbalik, lepas itu adalah dalam empat buah kereta lain pula langgar. Sebabkan pemandu mabuk berlumba, banyak kereta terlibat dalam kemalangan,” ciapnya.
Walau bagaimanapun, keadaan adik pemilik kenderaan itu yang difahamkan memandu kereta tersebut ketika kemalangan berlaku, tidak diketahui.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan pemandu mabuk yang tidak bermoral itu sehingga mengancam keselamatan pemandu lain.
“Kes arak lagi yang melibatkan kemalangan. Kalau dah tahu mabuk, tak perlulah memandu. Ini sudahlah memandu, berlumba pula tu,” ciap seorang netizen.
“Sama juga dengan kereta saya. ‘Total lost’, pemandu mabuk langgar belakang. Pastikan tuan ambil tindakan segera terhadap si pelaku,” ciap netizen yang lain pula.
Sehingga kini, ciapan tersebut telah mendapat 2,302 perkongsian dan 2,514 tanda suka.