Netizen ancam boikot bisnes Syahmi Sazli dan isteri selepas bersuara isu air Kelantan.
Pempengaruh media sosial Syahmi Sazli mengambil sikap berlapang dada dan reda selepas diancam netizen untuk memboikot perniagaannya.
Ia selepas isterinya Anissa Faizul membangkitkan isu mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan walaupun sudah lebih 30 tahun kerajaan negeri sedia ada berkuasa.
“Kalau Mi (Syahmi) dan Nissa diboikot sebab bersuara untuk kebaikan rakyat senegeri, tak apa, Mi reda.
“Yang mana masih ada bersama Mi, moga Allah membalas kebaikan untuk semua,” katanya yang turut memuat naik hantaran mengenai isu boikot itu di Facebook.
Terdahulu Nissa dilaporkan memberi komen pada hantaran yang dibuat seorang pengguna Facebook berkaitan masalah bekalan air di Kelantan.
“Lebih 30 tahun dah duduk jaga (memerintah). Benda asas pun tidak boleh nak selesaikan. Dengan air la (kita) nak ambil wuduk untuk tunaikan solat di rumah. Mandi selepas pulang daripada kerja untuk pergi ke masjid dan solat berjemaah.
“Cakap lebih kata tak sayang agama. Benda asas nak menghadap sang pencipta (tuhan) pun tak selesai,” tulisnya pada Jumaat.
Sementara itu Syahmi dalam satu video berasingan memaklumkan ramai yang salah sangka dan mempersoalkan kesahihan kenyataan isterinya memandangkan masalah air tidak dilihat berlaku di rumah mereka selain perniagaan air balangnya juga berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, Syahmi mengakui masalah air tersebut berlaku terhadap segelintir pengguna di Kelantan.
“Jadi bagi Syahmi, masalah ini memang ada walaupun segelintir, tapi ada. Takkanlah nak sentuh masalah itu pun menjadi satu kesalahan.
“Kalau sentuh masalah ini satu kesalahan, tak ada perubahanlah.
“Kalau ikutkan Syahmi, tak kisah pun siapa-siapa nak tadbir atau memerintah, tapi asalkan benda asas untuk rakyat dipenuhi dan diselesaikan,” jelasnya yang juga seorang pengarah filem.