Nenek obses warna hijau lebih 20 tahun

Nenek obses warna hijau lebih 20 tahun

Nenek obses warna hijau lebih 20 tahun. Warma tertentu sememangnya mempunyai pengaruhnya yang tersendiri terhadap seseorang.

Malah, ada individu yang menjadikan sesuatu warna itu sebagai identiti diri sehingga menjadi obses terhadapnya.

Seorang nenek dari Brooklyn, Amerika Syarikat menjadi tular kerana obsesinya terhadap rona hijau yang disifatkan sebagai warna dengan elemen positif.

Elizabeth Sweetheart, 82, yang juga digelar sebagai Green Lady of Brooklyn hanya memakai pakaian dan barangan berwarna hijau sejak lebih 20 tahun lalu.

Nenek obses warna hijau lebih 20 tahun

“Hijau adalah warna yang cukup positif dan melambangkan kegembiraan.

“Bagi saya, warna ini sentiasa kelihatan segar, walaupun pada hari suram,” ujarnya.

Selain memakai pakaian hijau, Sweetheart juga mewarnakan rambutnya dengan rona hijau dan memakai cermin mata berbingkai hijau.

Malah, barang-barang lain di kediaman wanita itu seperti cadar, permaidani, laci pakaian dan pinggan mangkuk adalah berwarna hijau.

Jelas Sweetheart, dia tidak begitu pasti sejak bila kegilaannya terhadap warna hijau bermula.

Menurut suami Sweetheart, Robert Rosenthal, isterinya itu sudah obses terhadap warna tersebut sejak lebih dua dekad lalu.

Obsesinya itu juga telah menyebabkan Sweetheart menjadi sensasi di dalam internet sejak lebih sedekad lalu.

Nenek obses warna hijau lebih 20 tahun

Jelas Sweetheart yang merupakan seorang artis, dia tidak pernah merancang untuk menjadi pencinta warna hijau.

Sama seperti orang lain, Sweetheart mula menambah rona tersebut pada pakaian hariannya.

Namun, hanya benar-benar menjadi ‘wanita hijau’ apabila dia mula mewarnakan rambutnya dengan hijau terang.

“Saya sememangnya amat meminati warna memandangkan saya merupakan seorang artis.

“Saya menganggap bermain dengan warna dan motif adalah sesuatu yang menyeronokkan.

“Semakin lama, minat terhadap warna hijau semakin berkembang,” ujarnya.

Rona hijau pilihan Sweetheart juga adalah agak spesifik. Disebabkan itu, dia mewarnakan sendiri kebanyakan pakaiannya.

Dia turut mewarnakan kukunya dengan warna hijau.

Dia menggabungkan pewarna kuku biru dan kuning bagi mendapatkan warna hijau terang.

Ditanya tentang reaksi suaminya apabila mempunyai isteri yang obses terhadap satu warna sahaja, Sweetheart berkata, pasangannya itu seorang yang sangat penyabar dan tidak kisah dengan minatnya.

Menariknya, orang awam serta jiran-jiran Sweetheart amat memahami minat wanita itu terhadap warna hijau dan akan memberikan barangan berwarna tersebut kepada wanita berkenaan.

“Kami tidak pernah beli barang-barang berwarna hijau ini.

“Kebanyakan barangan berwarna hijau yang ada di rumah kami ketika ini diberikan oleh orang awam serta jiran-jiran.

“Adakalanya, apabila jiran-jiran terjumpa barangan berwarna hijau di stor, mereka akan hantarnya ke rumah saya.

“Mereka tahu, saya merupakan penggemar barang berwarna hijau,” ujarnya.

Tambah Sweetheart, biarpun sudah terlalu lama ‘hidup’ dengan warna hijau, namun dia tidak pernah berasa bosan atau terfikir untuk menukar warna kegemarannya itu.

Baca Lagi:
‘Rahmah’ baharu melibatkan industri pakaian bakal dilancarkan menjelang Aidilfitri
“Baby nak keluar…!!” Lelaki ini kongsi pengalaman jadi bidan terjun isteri bersalin dalam kereta
‘Sembah Syaitan’ – Ustaz Wadi mohon maaf kepada masyarakat India
CATEGORIES