Nenek mohon maaf, minta jangan kecam cucu calarkan kereta jiran. “Saya mohon maaf kepada jiran atas perbuatan cucu yang tular di media sosial dan harap dia tak dikecam lagi,” kata seorang wanita mualaf berusia 57 tahun.
Wanita itu merujuk perbuatan cucu perempuannya berusia lapan tahun mencalarkan kereta jiran di parkir bawah flat di sini, mengambil dan membuang penyepit pakaian milik jiran yang rakamannya tular di media sosial, menarik perhatian hampir 33,000 warganet dan 2,500 komen, termasuk berbaur kecaman.
Dia yang tidak menolak kemungkinan cucunya itu kesunyian dan tertekan dengan permasalahan keluarga hingga berbuat demikian, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas ia tular di laman TikTok, Sabtu lalu.
“Ia tabiat baharunya yang selama ini berperwatakan riang, lincah dan tidak berdepan masalah pembelajaran. Sejak saya jatuh sakit dan bapanya pula terpaksa berjauhan dengan keluarga atas faktor tidak dapat dielakkan, Dia suka mendiamkan diri serta bersendirian.
“Kehidupannya tak sama seperti kanak-kanak lain kerana sejak kecil, bapanya sudah berpisah dengan ibunya dan terus terputus hubungan. Namun sejak akhir tahun lalu, saya mengalami darah tinggi selain sakit jantung, tidak mampu membawanya ke mana-mana,” katanya.
Wanita itu berkata, dia juga mengalami masalah pergerakan yang terbatas serta tidak dapat naik turun tangga dari tingkat empat di flat projek perumahan rakyat (PPR) itu.
Menurutnya, bapa cucunya yang juga mualaf terpaksa berjauhan dengan keluarga kebelakangan ini hingga kanak-kanak itu kurang perhatian.
“Di rumah, dia yang bersekolah di sebuah sekolah Tamil berhampiran, rajin membantu mengemas rumah dan melakukan beberapa kerja. Saya menyara cucu dengan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM300 sebulan sepenuhnya.
“Kami juga dibantu anak lelaki lain dari segi makanan harian. Kami bukan orang senang dan saya juga buntu memikirkan tambang bas sekolah mencecah RM60 pada Mac depan.
“Saya harap dapat beri keselesaan kepadanya supaya dia dapat meneruskan persekolahan seperti biasa dan jadi insan berguna pada masa depan,” katanya menambah, dia juga menasihati cucunya supaya tidak mengulangi perbuatan itu.
“Sejak kes berkenaan tular, ramai pihak ingin mendapatkan penjelasan daripada kami dan sebagai penjaga, saya mohon maaf dan berjanji ia tidak akan berulang,” katanya.
Sementara itu, pemimpin komuniti di perumahan berkenaan, Karim Abd Rahman, memaklumkan keluarga kanak-kanak terbabit sering dibantu jiran-jiran berhampiran.
“Mereka juga tiada masalah dengan jiran melainkan kejadian baru-baru ini. Kami harap keluarga berkenaan terus dibantu, terutama dari segi persekolahan dan sokongan moral supaya masa depan kanak-kanak berkenaan lebih terjamin,” katanya.