Nenek hilang RM1.4 juta ditipu ‘scammer’ menyamar pegawai bank

Photo of author

By Syima Iza

Nenek hilang RM1.4 juta ditipu ‘scammer’ menyamar pegawai bank.

Seorang warga emas wanita berusia 85 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1.4 juta selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menyatakan bahawa sindiket ‘phone scam’ tersebut telah dikesan menggunakan taktik baharu untuk memperdaya mangsa dengan menawarkan skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh institusi perbankan tertentu.
Nenek hilang RM1.4 juta ditipu 'scammer' menyamar pegawai bank
Gambar hiasan

“Melalui satu laporan polis yang dibuat di Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu, suri rumah ini mendakwa telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai daripada sebuah bank tempatan.

“Pegawai ini menawarkan pelaburan simpanan tetap dengan kadar dividen 4.8 peratus. Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang miliknya ke dua akaun milik pengadu sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa mangsa diarahkan untuk mengaktifkan perbankan internet bagi kedua-dua akaun bank tersebut dan memberikan akses kepada pihak sindiket, kononnya bagi tujuan pengurusan wang pelaburan.

“Pengadu hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati semua wang itu hilang daripada akaunnya. Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata setakat minggu ke-34 hingga 25 Ogos, sebanyak 19,484 kes jenayah komersial telah direkodkan dengan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM1,620,924,215.30.

Katanya, jumlah itu bersamaan 82 kes sehari dengan nilai kerugian harian sebanyak RM6,810,605.95.

“Dalam perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun sebanyak lapan peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, di mana 21,274 kes telah dicatatkan.

“Namun, nilai kerugian menunjukkan trend yang berbeza dengan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun lalu, yang mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM1,263,673,401.12,” ujarnya.

Berhubung aspek pertuduhan, beliau menyatakan bahawa 47 peratus atau 9,231 kertas siasatan berjaya dituduh setakat tahun ini.

“Peratusan pertuduhan ini lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu, di mana sejumlah 44 peratus atau bersamaan 9,312 daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka pada tempoh tersebut,” tambahnya.

Baca Juga:
Kecoh khabar angin Jalan Yap Ah Loy ditukar nama Jalan Palestin, ini penjelasan DBKL
Ahli geologi dakwa terdapat gua kosong besar di bawah Kuala Lumpur, UM tak kenal Dr Sarah Jamal
Polis trafik tercampak dari motosikal selepas rempuh kereta ‘pancung’ lorong tiba-tiba