Nenek 20 cucu tawan puncak bukit Maras hanya berselipar, kongsi rahsia badan ‘fit’

Photo of author

By Syima Iza

Nenek 20 cucu tawan puncak bukit Maras hanya berselipar, kongsi rahsia badan ‘fit’.

Seorang nenek kepada 20 cucu berjaya membuktikan keupayaannya dengan menawan puncak Bukit Maras setinggi 329 meter di Kuala Nerus.

Fatimah Mohd Ali, 67, berkata, walaupun mengalami kesakitan pada bahagian lutut, dia berjaya mendaki bukit tersebut untuk menikmati pemandangan indah matahari terbit pada Jumaat lalu.

Nenek 20 cucu tawan puncak bukit Maras hanya berselipar, kongsi rahsia badan 'fit'

Menurutnya, kejayaan mendaki bukit itu merupakan aktiviti riadah kali pertama yang dilakukannya dengan sokongan penuh daripada anak-anak dan cucu-cucunya.

“Saya sudah lama teringin nak mendaki Bukit Maras, tetapi disebabkan sering mengalami sakit lutut dan sengal-sengal badan, saya terpaksa batalkan hasrat itu.
“Bila anak saya beritahu bahawa jika saya nak sihat, saya perlu lakukan lebih banyak aktiviti fizikal seperti mendaki untuk mendapatkan badan yang lebih sihat, saya jadi bersemangat pula nak mendaki bukit.
“Kebetulan minggu lepas, saya berpeluang ikut anak dan cucu panjat Bukit Maras, jadi saya gunakan peluang yang ada untuk terus mendaki sehingga ke puncak bukit,” kata Fatimah ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, Kuala Terengganu pada hari Selasa.

Memetik perkongsian Sinar Harian, Fatimah, atau lebih mesra dipanggil Kak Mah, berkata dia hanya memakai selipar dan membawa sebatang tongkat kayu sepanjang mendaki bukit tersebut.

“Saya mula mendaki Bukit Maras sekitar jam 5 pagi dan tiba di puncak dalam masa sejam.

“Sepanjang pendakian, saya hanya berhenti sekali sahaja sebelum menamatkan pendakian.

“Saya benar-benar tak sangka saya boleh mendaki tanpa mengalami sebarang masalah. Waktu itu, tak ramai orang muda, jadi saya terasa seperti muda kembali apabila ramai yang kagum dan merakam gambar bersama saya,” katanya sambil tersenyum.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, selepas berjaya mendaki bukit tersebut, badannya terasa lebih ringan dan sakit pada bahagian lututnya mula berkurangan.

“Malam selepas mendaki bukit itu, saya tidur lena dan badan terasa lebih segar. Kalau hari biasa, tidur saya agak terganggu kerana badan rasa lesu dan tak bermaya.

“Saya berhasrat untuk kembali mendaki Bukit Maras dan melakukan apa saja aktiviti riadah yang bersesuaian,” katanya.

Ditanya mengenai rahsia penjagaan kesihatan badan, Fatimah berkata dia masih sihat tanpa sebarang penyakit kronik atau penyakit tiga serangkai.

“Saya hanya mengamalkan makan makanan ruji seperti nasi dan ulam-ulaman serta tidak terpengaruh dengan iklan makanan segera.

“Saya juga hanya makan nasi, ulam, dan budu sahaja. Jarang sangat saya makan makanan lain.

“Selain itu, saya juga aktif bercucuk tanam dan memelihara beberapa ekor lembu dan kambing milik anak saya di sekitar kawasan rumah,” katanya.

Kejayaan warga emas itu menamatkan pendakian hingga ke puncak Bukit Maras menarik perhatian ramai apabila sekeping gambarnya yang memegang sebatang tongkat di puncak bukit tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

Baca Lagi:
“Kamu pengacara yang hebat dahulu..” – PU Syed tegur Azwan Ali berpakaian seperti wanita
Lelaki ini jadi terkenal seluruh dunia selepas jadi pembeli no plat kereta paling mahal RM39 juta
Ketua kampung curi dana penduduk RM304k untuk sara 4 isteri dan 20 anak