Golongan nelayan antara orang yang sering menemui hidupan laut yang mempunyai rupa aneh atau jarang ditemui. Seorang nelayan dari Rusia, Roman Fedortsov sebelum ini berjaya mengumpulkan koleksi foto ikan dari pelbagai spesies aneh.
Ada yang menakutkan dan boleh juga dikatakan sebagai teruja, himpunan gambar ini berjaya menarik perhatian orang ramai. Fedortsov bekerja sebagai nelayan kapal pukat tunda di kawasan perairan lautan Atlantik dan Afrika.
Sepanjang tempoh belayar di kawasan tersebut, Fedortsov banyak mengumpul gambar-gambar spesies ikan pelik yang ditemui. Kesemua hidupan itu dijumpai tersangkut pada pukat yang dipasang sepanjang aktiviti tangkapan ikan dilakukan. Ia bukan saja memiliki bentuk yang pelik, tetapi ada juga yang menakutkan bila dipandang. Rupanya jauh berbeza dengan kumpulan ikan yang biasa kita lihat.
Antara spesies hidupan laut yang ditemui adalah ikan jenis ‘grenadier’. Anehnya, hidupan ini memiliki sepasang mata bersaiz besar dengan keadaan mulut yang terjuih. Keseluruhan abdomen ikan ini berwarna merah termasuk warna pada bebola matanya. Ikan ini dikenali sebagai ‘rattails’ dan sering ditemui di permukaan laut dalam kawasan Lautan Atlantik.
Selain itu, terdapat juga spesies jerung yang ditemui dalam keadaan berbeza daripada kebanyakan jenisnya. Haiwan ini dikenali sebagai jerung hantu dengan nama saintifiknya ‘chimaera’. Mengapa nama gelarannya disebut sedemikian berkemungkinan ada kaitannya dengan ciri-ciri ikan ini.
Tahukah anda, bahawa hidupan ini akan mengeluarkan cahaya berwarna hijau pada bahagian matanya. Sinaran ini hanya akan terhasil apabila ia bertindak balas terhadap cahaya luar. Anehnya, mata ‘chimaera’ akan tenggelam tanpa cahaya ketika berada di dalam gelap.
Keunikan ‘chimaera’ dilihat pada keadaan siripnya yang bersayap. Tidak seperti kebanyakan ikan biasa, bentuk sirip hidupan ini lebih jelas kelihatan seperti kepak. Bagaimanapun, ia bukan bermaksud haiwan ini memiliki kebolehan untuk terbang. Sebaliknya, fungsinya masih lagi kekal sama seperti sirip ikan lain.
Selain sirip, terdapat satu lagi keistimewaan yang berada pada abdomen ‘chimaera’ iaitu mempunyai ekor panjang berbentuk cangkuk. Malah, rangkanya terdiri daripada tulang rawan sama seperti kebanyakan ikan jerung dan pari.
Selain spesies ikan, Fedortsov turut menemui hidupan laut dari jenis labah-labah yang berwarna oren. Saiznya hampir sebesar tapak tangan orang dewasa. Serangga ini dikenali dengan nama labah-labah laut iaitu ‘pycnogonids’. Ciri-cirinya masih lagi sama seperti labah-labah lain iaitu mempunyai lapan kaki yang panjang dan bersaiz kurus.
Menurut dailymail.com, hidupan yang tinggal di kawasan laut dalam biasanya mempunyai bentuk yang aneh. Kebarangkalian ini boleh berlaku disebabkan tekanan yang berbeza pada permukaan dalaman laut dan bahagian darat. Tekanan yang tinggi di bahagian bawah laut berkemungkinan menjadi penyebab terjadinya perubahan fizikal ke atas hidupan laut dalam sejurus ia dibawa keluar.
Hal yang demikian dikatakan berlaku ke atas ikan blobfish, di mana ia dipilih sebagai ikan paling hodoh di dunia. Meskipun begitu, tidak semua hidupan laut dalam mengalami perubahan bentuk apabila dibawa naik ke permukaan darat. Ada di antaranya masih mengekalkan rupa dan saiz yang sama walaupun berada di tempat berbeza.
Pun begitu, kebanyakan hidupan laut yang ditemui memiliki warna gelap. Perkara itu menimbulkan tanda tanya terhadap orang ramai yang menyaksikan koleksi foto berkenaan. Berdasarkan kenyataan Science Alert, sebahagian besar haiwan laut dalam memiliki ton gelap pada abdomen bertujuan untuk melindungi diri dari menjadi sasaran haiwan pemangsa.
Kenyataan itu disokong oleh Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) yang menjelaskan bahawa haiwan hitam menyerap semua cahaya yang ada di sekeliling. Pada masa yang sama, hidupan lain yang memiliki ton selain hitam seperti merah turut kelihatan berwarna hitam.
Hal ini disebabkan oleh tiada cahaya yang boleh menampakkan warna sebenar pada abdomen haiwan laut berkenaan. Tambahan lagi, kedudukan habitat pada kedalaman beribu-ribu kaki di bawah permukaan laut menyumbang kepada faktor kekurangan cahaya matahari untuk berada di kawasan berkenaan.
Sementara itu, kebanyakan hidupan laut yang ditemui telah dikenal pasti oleh pakar dalam bidang berkenaan. Meskipun begitu, terdapat sebahagian haiwan yang tidak diketahui nama dan spesiesnya. Dengan kata lain, ia kekal misteri kerana penemuan ke atas makhluk ini masih lagi baru.
Antaranya salah satu hidupan berwarna biru yang dijumpai Fedortsov. Haiwan ini memiliki badan berwarna biru dan bersaiz bulat. Tambahan lagi, ia mempunyai sebanyak sembilan jejari di sekeliling bahagian abdomen. Sekali pandang, ia kelihatan seperti tapak sulaiman.