Murid Tahun 5 yang dilaporkan hilang semasa menunggu untuk sarapan pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Engkudu, Saratok, pagi tadi, telah ditemui selamat pada petang ini.
Neelofa Entira Entegang, ditemukan oleh penduduk kampung dalam kawasan kebun kira-kira satu kilometer dari sekolah tersebut pada jam 3.24 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyatakan bahawa Neelofa kemudian dihantar ke Hospital Saratok menggunakan ambulan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk pemeriksaan kesihatan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi murid perempuan berusia 11 tahun itu diaktifkan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.27 pagi tadi.
“Neelofa yang memakai seragam lengkap terakhir kali dilihat pada jam 5.50 pagi di dalam bilik Kelas Tahun 5 SK Engkudu semasa menunggu sarapan pagi.
“Kehilangannya dikesan pada jam 5.55 pagi dan pencarian telah dijalankan oleh rakan-rakan dan guru di sekitar sekolah tetapi tanpa kejayaan,” katanya.
Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah melancarkan operasi SAR pagi tadi dalam radius dua kilometer sekeliling sekolah termasuk kawasan hutan.
Katanya, pencarian tersebut turut disertai oleh empat anggota polis, 10 kakitangan sekolah, dan 10 penduduk kampung.
“Operasi tersebut diteruskan pada petang hari dengan memperluaskan pencarian dalam radius tiga kilometer dari lokasi terakhir Neelofa dilihat hingga ke rumah keluarganya, Rumah Panjang Bundak, Sungai Anak, Saratok.
“Neelofa akhirnya ditemui di kebun berdekatan sekolah dalam keadaan selamat walaupun agak lemah disebabkan kelaparan,” katanya.