Seorang peniaga lemang terkejut apabila pelanggannya memberitahu bahawa lemang yang baru sahaja dibelinya mengandungi paku di dalamnya.
Melalui perkongsian video peniaga tersebut di laman TikTok @ummu.saifullah, kira-kira segenggam paku besi berukuran lebih kurang 50 milimeter (mm) itu ditemui berada di dalam buluh lemang tersebut, termasuk beberapa yang telah tercampur ke dalam isi lemang.
Bagaimanapun, peniaga terbabit turut hairan dengan penemuan paku-paku besi tersebut kerana menurutnya, sebelum memasukkan beras ke dalam buluh, dia pastikan buluh dalam keadaan bersih dan dia sendiri yang menyediakannya dari A hingga Z pada masa itu.
“Sudah sampai hampir ke pelanggan, tiba-tiba dalam masa 10 minit dia call. Kenapa ada paku dalam lemang? Saya pun macam, ehh, paku? Darimana paku ini datang, sebab saya yang membersihkan buluh, yang memotong buluh, yang menyediakan semuanya dari A – Z. Memang tiada paku.
“Nasib baik pelanggan baru memotong, belum lagi dimakan. Dia sedar selepas dia hendak memotong bahagian bawah lemang,” ujarnya dalam kapsyen.
Peniaga tersebut bersyukur kerana pelanggan tersebut memberitahunya dengan segera, dan dia telah menggantikan lemang yang baru untuknya kerana kebetulan terdapat lebihan lemang yang telah dimasak untuk hari tersebut.
“Kejadian ini adalah kebetulan kerana saya memasak lebihan lemang, jadi saya gantikan yang baru di depan pelanggan. Lagipun, saya memang hanya memasak tujuh batang. Semua telah diperiksa kualiti dengan teliti,” katanya.
@ummu.saifullah Lemang paku 🤭 . dah sampaj dkt cust tetiba kurang lebih 10 minit gitu dia call . kenapa ada paku dalam lemang . aku pun macam ehhhh paku ? mana mai paku , sbb aku yg basuh buluh , yang potong buluh , yang buat A – Z . mmg takda paku . takda sape pun yg kacau masa aku melemang . nasib cust baru potong , belum masuk mulut . dia perasan pun lps dia nak potong part bawah lemang . kebetulan mmg aku masak extra lemang . ganti yang baru buka depan mata . alhamdulillah okay . Cuak juga kalau ada walaupun masak 7 batang je . sampai ke sudah memikir mana mai paku ? serumah dah kena sesi soal jawab . masih belum ada jawapan . so aku sangka baik. lagipun anak aku kata semut yg bawa paku tu 🤣🤣 . so biar la dia kekal misteri sampai bila² #misteri #lemang #fyp #raya #food ♬ Alamak Raya Lagi DEFAM – De Fam
Sementara itu, teka-teki tentang siapa pelaku kejadian aneh ini terjawab apabila peniaga tersebut mengakui bahawa dia menggunakan buluh tambahan milik anaknya yang kemungkinan telah digunakan sebagai tempat penyimpanan paku.
“Saya telah menggunakan semua buluh, lalu saya ambil buluh sedia ada. Ternyata anak saya main-main dengan buluh itu. Nasib baik saya telah memasak lebihan untuk makan sendiri. Jadi saya langsung menggantikan lemang pelanggan,” jelas peniaga tersebut sebagai respons kepada komen seorang pengguna.
Setakat ini, video perkongsian tersebut telah mendapat 370,700 tontonan, 5,356 tanda suka, dan 826 perkongsian.