Seorang peniaga di bazar Ramadan di Kamunting, Perak telah mengeluarkan permohonan maaf terbuka kepada semua pelanggannya yang telah membeli kerabu pucuk paku dan tauge dari gerainya semalam, setelah mendapati masakan tersebut sudah basi.
Melalui hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook, Sharifah Nurul Shahida, beliau memberitahu bahawa perkara tersebut mula disedari apabila suaminya makan kerabu tersebut semasa berbuka puasa.
“Allahuakbar, mohon kepada semua yang melihat hantaran ini untuk berkongsi supaya hantaran ini sampai kepada pembeli kami.
“Dengan sepenuh hati, saya memohon maaf kepada pelanggan yang datang ke gerai Shazam Katering di bazar Ramadan Kamunting hari ini (semalam).
“Saya harap anda semua boleh datang semula ke gerai kami esok (hari ini) supaya kami dapat mengembalikan wang kepada tuan dan puan yang membeli kerabu kami,” tulisnya dalam hantaran semalam.
Nurul Shahida menerangkan bahawa beliau tidak menyangka kerabunya akan basi terlalu awal walaupun semua bahan yang digunakan adalah segar.
“Kerabu ini kami buat petang tadi (semalam) pada pukul 3 petang. Saya tidak menyangka bahawa ia akan rosak pada waktu berbuka, sedangkan kelapa parut yang kami gunakan juga dibeli pada waktu pagi, bukan semalam (kelmarin),” jelasnya.
Mengenai perkongsian peniaga tersebut, ia mendapat pujian daripada orang ramai kerana kejujuran dan kesanggupannya untuk membayar ganti rugi kepada pelanggan yang terkesan.
“Inilah contoh peniaga yang berniaga dengan ikhlas, bukan semata-mata untuk keuntungan. Semoga Allah memberikan rezeki yang melimpah kepada Sharifah Nurul Shahida,” puji Ross Flower’s.
“Sangat baik peniaga ini, sungguh ikhlas dalam berniaga. Semoga Allah memberkati dalam bulan mulia ini dan memberi kemudahan dalam mencari pelanggan. Terima kasih kerana menjadi peniaga yang jujur,” kata Ismazuraidah Isa.