Nad Zainal kongsi keadaan terkini di sesi ’live’ TikTok buat pertama kali selepas sebulan di hospital. Setelah sebulan mendapatkan rawatan akibat pendarahan dalam paru-paru, pelakon Nad Zainal tampil buat pertama kali di sesi siaran langsung di TikTok sebentar tadi.
Menerusi sesi live itu, pelakon Cina Buta itu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
Malah, Nad turut menjadikan pengalaman ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebagai pengajaran buat dirinya.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang banyak mendoakan saya.
“Setelah bertarung nyawa selama sebulan, Alhamdulillah doa saya diperkenankan untuk dapat kembali bersama keluarga.
“Pengajaran yang saya dapat adalah selepas ini saya perlu jaga diri, jaga kesihatan. Hargai semua yang ada di sekeliling saya,” katanya.
Jelas Nad, tujuan dirinya tampil di siaran langsung TikTok kerana ingin berkongsi perkembangan terkini dirinya yang kini sudah dibenarkan pulang ke rumah.
“Saya cuma nak kongsi keadaan saya. Apa yang terjadi sepanjang saya jalani rawatan akan saya kongsikan nanti, termasuk apa yang saya mimpi ketika tidak sedar.
“Buat masa ini, saya perlukan rehat. Begitu juga dalam lakonan, saya mungkin akan berehat selama dua bulan untuk persiapkan diri saya,” ujarnya.
Nad menjelaskan dia turut dirawat di tiga buah hospital iaitu Hospital KPJ Ampang Puteri, Hospital Kuala Lumpur dan Institut Perubatan Respiratori (IPR).
Pengambilan pil suplemen jadi punca?
Sementara itu, Nad menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pengambilan suplemen antara penyebab penyakit yang dihidapi.
“Timbul isu kononnya saya sakit kerana makan supplement sampai jadi viral. Ternyata spekulasi itu tidak betul sama sekali.
“Ini sedikit sebanyak buat saya sangat bersalah sampai fikir kenapa saya sakit sampai mengganggu perniagaan orang.
“Ini luar kawalan saya. Saya nak terangkan ia tak ada kaitan dgn supplement,” tegasnya.
Ungku Ismail kawan rapat
Dalam pada itu, Nad akui pelakon Ungku Ismail adalah rakan rapatnya ketika ini.
“Dia rapat dengan saya dan saya sangat-sangat hargai orang yang bernama Ungku Ismail. Dia banyak membantu dan memberi semangat.
“Selain itu, saya pun tak ada masalah untuk Ungku Ismail ke depan untuk ceritakan perkembangan kesihatan saya.
“Malah, Papa pun ada juga buat kenyataan dan Papa pun beri laluan untuk Ungku Ismail untuk ceritakan keadaan saya,” katanya.
@romohgonzales Alhamdulillah . nad zainal dah sembuh . #nadzainal #nadzainalsedar #nadzainalsembuh #fyp #nadzainalterkini #foryoupage #viral #viralvideo #beritaterkini #fyp ♬ original sound – 🌺 Eira (RacunTiktokShop)🌺
Baca lagi: