Mujur ada orang baik pulangkan beg berisi RM1 juta jatuh di jalan Ampang.
Kes kehilangan beg berisi wang tunai berjumlah RM1 juta pada Rabu berjaya diselesaikan apabila ia ditemui semula dan diserahkan kepada pihak polis pada hari yang sama.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, mengesahkan perkara tersebut selepas beg itu ditemui di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) arah ke ibu negara, tidak lama selepas kejadian berlaku.
Menurut Sasikala, beg berisi wang tersebut dipercayai terjatuh di atas jalan ketika sebuah van milik syarikat keselamatan yang bertugas melakukan kutipan dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang, melalui satu laluan berselekoh.
“Beg berisi wang RM1 juta itu terjatuh di tengah jalan sebelum dijumpai oleh seorang pemandu kereta yang melalui laluan tersebut.
“Beg berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut kini dijalankan, termasuk merakam keterangan individu yang menemui beg itu serta petugas van keselamatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Tambah Sasikala, siasatan polis masih berada di peringkat awal dan pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.
“Kita akan maklumkan sebarang perkembangan lanjut selepas siasatan selesai,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, berdasarkan maklumat yang tersebar, kejadian tersebut hanya disedari selepas pemandu van keselamatan berkenaan mendapati pintu van terbuka.
Selepas membuat pemeriksaan, individu berkenaan mendapati satu beg berisi wang tunai telah tiada dan dipercayai terjatuh.