Misteri penjara Alcatraz yang paling bahaya, aneh dan menyeramkan.
Pada waktu tertentu terdengar suara siulan yang menyeramkan, tangisan dan jeritan dari arah sel blok D di penjara Alcatraz yang terletak di Teluk San Francisco, California, Amerika Syarikat.
Bunyi tangisan itu diikuti suara raungan bergema, kemudian bertukar perlahan dan lemah. Esoknya, pengawal penjara menemui mayat seorang banduan ditemui mati dengan kesan cakaran dan cekikan tangan di leher.
Banduan yang maut di sel blok D itu tidak dapat dikenal pasti punca kematiannya. Ia seolah-olah mengesahkan kisah kehadiran roh jahat yang kononnya cuba membalas dendam terhadap banduan di situ.
Banduan yang mati didapati memiliki kesan lebam dan calar-balar di leher. Berdasarkan laporan perubatan dan rekod bedah siasat, adalah mustahil banduan tersebut membunuh diri dengan mencekik leher mereka sendiri sehingga mati.
Kisah-kisah tentang paranormal dan kematian banduan secara misteri di penjara terkemuka Alcatraz pernah heboh diperkatakan. Alcatraz bertambah popular apabila pelbagai kisah misteri, hantu dan penyeksaan banduan difilemkan pada 1962 bertajuk The Birdman of Alcatraz lakonan Burt Lancaster. Sebuah lagi filem The Rock (1996) lakonan Sean Connery, Nicholas Cage dan Ed Harris turut menambahkan populariti Alcatraz.
Penjara Alcatraz yang mendapat nama julukan ‘hellcatraz’ (neraka Alcatraz) dilaporkan sering mengalami pelbagai kejadian aneh dan misteri yang menakutkan penghuninya.
Alcatraz ataupun ‘The Rock’ juga dikenali sebagai ‘White Rock’ kerana pulau ini dipenuhi najis burung undan yang didakwa Orang Asli Amerika sebagai kawasan paling berpuaka oleh puak tempatan. Orang Asli Amerika percaya pulau ini dihuni oleh kuasa jahat dan menjadi pulau larangan kepada puak-puak tersebut.
Apabila orang Sepanyol, Juan Manuel de Ayala tiba pada kurun ke-17, beliau menamakan pulau ini sebagai ‘La Isla de los Alcatraces’ atau ‘Pulau Burung Undan’. Pulau ini dikatakan gagal untuk dijadikan sebagai kem kawalan ketenteraan strategik.
Bagaimanapun semua ini berubah apabila pulau ini menjadi pusat kawalan pertahanan yang strategik sebagai kubu kuat Golden Gate Bridge di San Francisco.
Kubu pertahanan itu dibina pada tahun 1854. Malangnya, penganalisis pembinaan telah gagal memperhalusi dua faktor geografi dan meteorologi menyebabkan ramai pekerja binaan maut akibat keadaan cuaca buruk seperti ribut kencang, kabus dan hujan.
Kekangan lain yang timbul selain bahana cuaca, pulau ini tiada sumber air atau tumbuhan yang hidup ditambah pula kesukaran penghantaran bekalan menyebabkan bantuan dari tanah besar amat sukar dilaksanakan.
Akibat daripada ke kangan tersebut, pelbagai jenis penyakit merebak di kalangan pekerja di tapak pembinaan selain berlaku kebuluran yang turut mengorbankan banyak nyawa.
Bagaimanapun, segala kerja pembinaan dapat disiapkan dan pada tahun 1859 tahanan penjara pertama mula dipindahkan ke Alcatraz. Tahanan dikurung dalam keadaan yang terseksa, serta tanpa kemudahan kebersihan yang optimum.
Penjara ini menjadi penempatan bagi kumpulan banduan banduan kejam yang terlibat jenayah berat dan banduan ketenteraan. Sel di blok D merupakan kawasan yang paling menakutkan, yang menempatkan banduan-banduan yang paling ganas seperti perompak, samseng, perogol dan pembunuh.
Antara penjenayah terkenal yang pernah berada di sini ialah Al-Cappone, Robert Franklin Stroud (Birdman of Alcatraz), George ‘Machine Gun’ Kelly, James ‘Whitey’ Bulger dan Alvin Karpis. Kebanyakan banduan yang cuba meloloskan diri dari penjara lain juga dihantar ke sini.
Di Alcatraz, tawanan dipaksa berdiri bertelanjang bulat dalam keadaan suhu yang sangat sejuk berhari-hari. Penyeksaan itu menyebabkan kebanyakan penghuninya terus menerus berteriak dan meroyan sehingga akhirnya ada yang menjadi gila.
Peluang banduan-banduan ini meloloskan diri amat tipis. Andai ada penghuni ‘neraka’ ini cuba lari, keadaan ekosistem di sekeliling Pulau Alcatraz ini pasti akan membantutkan usaha mereka. Biasanya keadaan geografi kawasan Alcatraz akan membuatkan mereka kembali semula ke pulau tersebut ataupun mati kesejukan di laut.
Namun, pada 11 Jun 1962, tiga orang banduan telah berjaya melarikan diri dari penjara yang dianggap sebagai paling sukar di dunia waktu itu. Mereka telah menggali lubang selama berbulan-bulan lamanya hanya menggunakan sudu, bilah pisau dan mata gerudi. Kisah itu dijadikan inpirasi filem Escape from Alcatraz pada tahun 1979.
Penjara Alcatraz ditutup pada tahun 1963 kerana kos operasi yang tinggi. Selepas ditutup, pulau ini dijadikan pusat pelancongan dan menjadi tarikan jutaan pengunjung setiap tahun.
Pengunjung datang ke Alcatraz bukan sekadar untuk melihat kawasan penjara ini, malah turut merasai pelbagai pengalaman paranormal di sini. Pelawat yang sering kali datang ke Alcatraz mendakwa mereka terdengar suara siulan yang menyeramkan, suara tangisan dan jeritan walaupun penjara ini telah lama dikosongkan.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan ada pelawat pernah ternampak kelibat rumah api, muncul dari celahan kabut yang tebal memancarkan cahaya dari arah pulau berhantu ini.