Misteri kehilangan askar di ‘Hutan Belum’ terjawab. Kehilangan anggota tentera berpangkat Koperal di Hutan Simpan Belum di Gerik sejak Jumaat lalu terjawab, apabila dia ditemukan meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mayat anggota berusia 33 tahun itu dijumpai pada pukul 10.15 pagi.
“Sudah jumpa (mangsa), mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum.
Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan pada pukul 5 petang, Jumaat lalu.