‘Menu Rahmah’ di 20 kafe IPTA selepas Aidilfitri

Photo of author

By Syima Iza

‘Menu Rahmah’ di 20 kafe IPTA selepas Aidilfitri. Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh menikmati Menu Rahmah yang akan dilancarkan di 20 kafe IPTA sekitar Lembah Klang, selepas Aidilfitri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata langkah permulaan itu susulan kerjasama kementeriannya dan Kementerian Pengajian Tinggi, bagi memuktamadkan pengenalan Menu Rahmah di semua IPTA selain institusi lain yang berminat di seluruh negara.

Katanya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi maklum balas positif dan sangat bersetuju pengenalan Menu Rahmah di kafe-kafe IPTA seluruh negara.

'Menu Rahmah' di 20 kafe IPTA selepas Aidilfitri

“Pegawai dua KPDN dan Kementerian Pengajian Tinggi akan bertemu dalam masa terdekat bagi segera menyelaraskan pengenalan Meni Rahmah di kafe IPTA seluruh negara.

“Ia berikutan kafe di IPTA di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi manakala bekalan makanan di bawah bidang kuasa KPDN.

“Insya Allah, selepas Aidilfitri nanti, kita akan melancarkan Menu Rahmah di 20 Kafe IPTA di Lembah Klang sebagai permulaan, sebelum dilancarkan ke instutusi pengajian swasta dan lain-lain di seluruh negara selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, di Bandar Dato Onn, di sini, hari ini.

Menu Rahmah di Samballana itu membabitkan hidangan ‘chicken chop’bersama minuman mangga pudina berharga RM5.

Semalam, Program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dilaporkan akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT), dalam masa terdekat.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, perkara itu akan dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama KPDN.

“Insya-Allah, program ini akan masuk ke IPT tidak lama lagi. Saya percaya semua IPT awam mahupun swasta tiada masalah untuk menjayakan program ini,” kata Mohamed Khaled semalam.

Kelmarin, lebih 15,000 restoran dan premis dilaporkan menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.

Program berkenaan bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai, memuji inisiatif Samballana Bistro yang memperkenalkan Menu Rahmah membabitkan hidangan ‘chicken chop’ dan minuman mangga pudina.

“Ini akan membolehkan golongan B40 sekitar Bandar Dato Onn dan Johor Bahru mendapatkan hidangan Menu Rahmah di kawasan tidak jauh daripada mereka.

“Semalam saya terharu apabila seorang ibu di Ipoh, Perak, sanggup meredah hujan dengan menaiki motosikal membawa anaknya bagi mencari hidangan Menu Rahmah.

“Ia sesungguhnya memberi motivasi kepada saya untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan program Menu Rahmah dilancarkan di lebih banyak lokasi bagi memberi kemudahan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Baca Lagi:
Gengster upahan ugut penduduk kampung halang projek korek pasir haram
Budak 11 tahun main lato-lato lebih 2 jam tanpa henti menang hadiah kambing
Wanita ‘kantoi’ selamba rakam filem dalam wayang siap tayang TikTok