Menteri dakwa pegawai Imigresen dalang video kecoh di KLIA viral.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang penyebaran video kekecohan yang mendakwa dirinya menyalahguna kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.
Tanpa berselindung, King Sing mendakwa video itu dirakam oleh pegawai Imigresen yang turut berada di tempat kejadian.
Beliau turut mendakwa, penyebaran itu adalah tindakan yang sengaja untuk menutup kesalahan serta aktiviti rasuah yang berlaku di balai ketibaan berkenaan.
“Kenapa orang Imigresen takut sangat orang tular gambarnya. (Punca) Viral ini saya boleh sahkan 100 peratus daripada Imigresen sendiri kerana saya berada dalam pejabat Imigresen,” katanya tadi.
Beliau berkata, oleh itu dalang yang mengambil dan menyebarkan video berkenaan perlu disiasat dengan segera kerana melakukan berita yang tidak benar.
“Saya mahu satu siasatan lengkap. Periksa gambar viral itu daripada telefon siapa dan saya minta SKMM melakukannya dan pegawai ini disiasat.
“Kenapa dia melakukannya, kenapa buat berita tidak tepat, buat tuduhan fitnah. Adakah mahu selamatkan segelintir pegawainya,” katanya.