McLaren 570s merah jambu tersadai depan hotel selama 4 tahun jadi tanda tanya.
Sebuah kereta jenama McLaren yang dianggarkan bernilai £150,000 (RM841,000) menarik perhatian pengguna media sosial apabila dibiarkan di hadapan sebuah hotel di London selama empat tahun, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kereta model McLaren 570s berwarna merah jambu itu telah berada di luar Hotel St Pancras Renaissance sejak pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Video mengenai kenderaan tersebut dikongsi di platform TikTok oleh akaun @soggyspin4ch, mencetuskan perdebatan dan pelbagai teori dalam kalangan netizen.
“Bila kereta ini akan bergerak? Ia telah berada di sini sepanjang musim Covid-19,” tulis keterangan pada video tersebut.
Rakaman itu telah mencatatkan lebih 1.3 juta tontonan, dan rata-rata netizen berasa ingin tahu tentang misteri kereta itu.
Penjelasan Mengenai McLaren
Seorang kakitangan Hotel St Pancras Renaissance kemudian tampil memberikan penjelasan:
“McLaren ini dimiliki oleh seorang tetamu ketika permulaan wabak (Covid-19) apabila dia menghadapi masalah untuk kembali ke negara asalnya.
“Ia dibiarkan sejak 2018 dan pemiliknya tinggal di hotel tersebut.
“Pihak pengurusan membenarkan dia meletakkan kenderaannya di sana kerana ia kelihatan cantik,” tambahnya.