Mayat berulat ditemui dalam bagasi biru.
Mayat yang berulat yang ditemukan dalam sebuah bagasi di Taman CP6, Cheras Perdana, hari ini disahkan sebagai seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.45 pagi berhubung penemuan sebuah bagasi yang berbau busuk daripada orang awam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah ke lokasi kejadian dan mengesahkan bahawa sebuah bagasi berwarna biru yang ditemui di lokasi mengandungi mayat seorang lelaki tanpa sebarang pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat yang dijangka akan dijalankan pada 9 pagi esok.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penemuan bagasi yang mengandungi mayat tersebut.