Mat Saleh dari Belanda pilih kedai servis kereta di Rengit selepas 30,000 kilometer keliling dunia bersama isteri.
Seorang pemilik kedai kecantikan kereta terkejut apabila seorang lelaki asing dari Belanda datang menghantar keretanya untuk diservis di kedai yang terletak di Rengit, Batu Pahat, Johor.
Menerusi hantaran di Facebook Nafal N A First, beliau menyatakan bahawa dia menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki asing yang menggunakan nombor telefon Belanda.
Dalam mesej itu, dia bertanya kepada pemilik kedai kecantikan Markas Projek Kilat untuk mendapatkan perkhidmatan pembersihan keretanya.
“Hello, saya ada soalan mengenai kereta saya. Saya dan isteri sedang mengelilingi dunia dengan kereta kami.
“Kami telah memandu dari Belanda hingga ke Malaysia dan akan menghantar kereta ke Dubai dalam masa tiga minggu lagi.
“Kami mendengar cerita baik daripada rakan-rakan di Malaysia mengenai perkhidmatan anda dalam restorasi dan salutan bahagian bawah kereta. Sebagai tambahan, kami juga mahu bahagian enjin dibersihkan sepenuhnya.
“Kami akan melawat Singapura sekitar 4 hingga 10 November dan kami akan meninggalkan kereta kepada anda untuk beberapa hari,” petik mesej WhatsApp Marcel kepada Nafal.
Menurut Nafal, pada awalnya beliau merasakan Marcel hanya ‘melawak’. Namun, tidak sangka kereta Toyota 4Runner tiba di kedainya yang terletak di Rengit, Batu Pahat, Johor.
Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik, pasukan Markas Projek Kilat bertungkus-lumus membersihkan kereta Marcel yang sudah berjalan hampir 30,000 kilometer dari Belanda.
View this post on Instagram
Menerusi hantaran di Instagram Marcel, Malaysia merupakan negara ke-21 dalam jelajah dunia mereka, sebelum ia berakhir di Singapura.
Beliau dan isteri tiba di negara ini sekitar akhir Oktober lalu dan selamat tiba di negara jiran pada minggu lalu. Jelajah dunia itu mengambil masa selama 232 hari.
Difahamkan pasangan suami isteri dari Belanda itu akan menyambung jelajah mereka ke Timur Tengah sebelum pulang ke ibu negara mereka.