Mat saleh buat video dedah realiti sebenar kebersihan di Malaysia bikin netizen Indonesia gelak besar.
Boleh dikatakan apabila bercakap mengenai kebersihan, rakyat Malaysia sering menganggap diri mereka sangat berdisiplin dan kerap membandingkan tahap kebersihan dengan negara jiran seperti Indonesia.
Namun, sejauh manakah kebenaran bahawa Malaysia lebih bersih daripada Indonesia, seperti yang sering dicanangkan? Lama polemik ini dimainkan, seorang lelaki Barat telah meneliti kebenaran kenyataan tersebut dengan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk melihat sendiri tahap kebersihan dalam kehidupan sebenar.
Menurut lelaki itu, pada pandangan awal, Malaysia memang tampak bersih, tetapi realitinya, apabila beliau melawat Borneo dan beberapa kawasan lain di Malaysia, keadaan persekitarannya dipenuhi sampah-sarap, tidak seperti yang didakwa.
“Di sini aku melihat orang ramai membuang sampah sembarangan di jalanan. Di laut pula, terdapat sangat banyak pencemaran sampah,” katanya sambil menunjukkan keadaan sebenar dalam videonya.
Dakwaan bahawa sampah di Malaysia berpunca daripada pendatang dan pelancong luar adalah tidak tepat sama sekali. Menurutnya, rakyat Malaysia juga tidak berbeza dengan orang-orang Asia Tenggara yang lain.
@bulesampahApakah negara Malaysia lebih bersih dari Indonesia ?
Tambahnya lagi, masalah ini terjadi kerana rakyat Malaysia terlalu banyak menggunakan beg plastik dan tidak mempunyai sistem pengurusan sampah yang efisien.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa ini bukanlah soal mencari siapa yang lebih kotor antara Malaysia atau Indonesia, tetapi lebih kepada mendedahkan punca sebenar yang datang daripada sikap individu yang tidak menjaga kebersihan persekitaran.
“Jadi, ini bukan tentang siapa yang lebih kotor antara Malaysia atau Indonesia. Ini tentang kebiasaan kita,” katanya lagi.
Perkongsian video tersebut terus mendapat perhatian netizen, terutamanya dari Indonesia, di mana mereka gembira dengan pendedahan realiti tahap kebersihan Malaysia yang selama ini hanya menuding jari kepada orang lain sebagai punca masalah sampah di sini. Walaupun kenyataan itu pahit untuk diterima oleh warga tempatan, sebahagian netizen Malaysia bersetuju bahawa kesedaran mengenai kebersihan masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.