Marwa Al-Sherbini, wanita yang syahid demi mempertahankan agamanya.
Kisah wanita ini mungkin sudah lama dilupakan. Namun jika diimbas kembali, pasti ramai yang mungkin mengingati tragedi seorang wanita Islam yang juga berstatus isteri dan ibu, mati ditikam oleh seorang lelaki yang begitu anti dengan Islam.
Wanita itu, Marwa al-Sherbini yang berusia 32 tahun, mati ditikam bertubi-tubi pada 1 Julai 2009 di kamar mahkamah di kota Dresdan, Jerman. Lebih menyayat hati, Marwa ketika itu sedang hamil tiga bulan anak keduanya.
Marwa yang lahir di Mesir merupakan lulusan dari Univeristi Alexandria dalam bidang farmasi. Wanita ini juga pernah menjadi pemain kebangsaan bola baling Mesir sewaktu zaman remajanya.
Pada tahun 2005, Marwa dan suaminya, Okaz berhijrah ke Bremen di Jerman. Pada tahun 2008, keluarga ini berpindah ke Dresden, sebuah bandar di timur Jerman. Di sini, suaminya bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti. Manakala Marwa pula bekerja di sebuah universiti perubatan dan farmasi bagi mengisi program akreditasi.
Sebagai seorang wanita Muslim, Marwa sentiasa menjaga auratnya daripada pandangan lelaki ajnabi. Setiap kali dia keluar dari rumah, Marwa akan memakai jilbabnya kerana dia tahu, itulah tuntutan Islam kepada seluruh umatnya.
Namun, penampilan Marwa itu mengundang perasaan tidak senang seorang pemuda Jerman, Alex Wiens, 28, yang sering mengugut dan mencacinya. Alex merupakan lelaki berasal dari Rusia sebelum berhijrah ke Jerman pada tahun 2003.
Alex yang sememangnya anti kepada Islam dan orang Muslim, tidak pernah jemu untuk mencerca dan mencemuh Marwa al-Sherbini setiap kali terserempak dengan wanita tersebut. Ugutan demi ugutan yang diterima oleh Marwa akhirnya mendorongnya untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Ditikam Dalam Mahkamah
Pertelingkahan antara Marwa dan Alex bermula pada Ogos 2008 di sebuah taman permainan kanak-kanak di Dresden. Marwa ketika itu membawa anaknya yang berusia tiga tahun, Mustafa, untuk bermain di taman tersebut. Turut ada di situ ialah Alex yang membawa anak buahnya bermain di buaian.
Marwa meminta izin kepada Alex untuk meletakkan anaknya di buaian. Sebaliknya yang berlaku apabila Alex terus melemparkan kata-kata kesat dan menghina wanita itu, bahkan menggelarkannya sebagai pengganas.
Terjadi pertikaman lidah antara mereka sehingga polis datang ke taman itu untuk meleraikan pertelingkahan. Tidak tahan dengan gangguan dan cemuhan berterusan daripada lelaki itu, Marwa bertindak menggunakan saluran undang-undang dengan menyaman Alex.
Sewaktu perbicaraan, Alex sentiasa menghina Marwa dan mengeluarkan kata-kata rasis. Pun begitu, dia didapati bersalah dan diarahkan membayar denda pada November 2008. Namun, Alex membuat rayuan agar kes tersebut dibicarakan semula.
Pada tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Julai 2009, pagi itu Marwa bersama suami dan anaknya hadir ke mahkamah untuk perbicaraan. Turut serta di dalam sebutan kes tersebut ialah Alex. Keseluruhan yang ada di dalam bilik perbicaaan itu ialah seramai sembilan orang.
Marwa memberi penjelasan di hadapan hakim mengenai ugutan-ugutan yang diterimanya. Marwa juga menyatakan Alex sering memanggilnya dengan panggilan ‘pengganas’ setiap kali bertemu dengannya. Malah Alex juga mengganggunya dengan kerap mencuba membuka hijab yang dipakai olehnya secara paksa.
Sewaktu perbicaraan hampir selesai dan Marwa bersama suami dan anak mereka sudah hampir sampai ke pintu untuk keluar dari bilik tersebut, tiba-tiba Alex meluru ke arahnya. Lelaki itu menikam Marwa bertubi-tubi menggunakan pisau yang dibawa di dalam beg sandangnya.
Marwa ditikam sebanyak 18 kali. Suaminya, Okaz yang cuba membantu turut ditikam 16 kali. Malah, sewaktu pegawai polis tiba di kamar tersebut, pegawai itu tidak sengaja tertembak Okaz kerana menyangka lelaki itu penyerangnya.
Marwa yang cedera parah meninggal dunia di situ juga pada pukul 11.07 pagi. Manakala suaminya yang cedera parah ditikam Alex dan ditembak polis koma selama dua hari dan dirawat selama beberapa minggu di hospital.
Ekoran kejadian itu, Alex telah ditahan dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Marwa dan cubaan membunuh Okaz. Walaupun menggunakan alasan menghidap penyakit mental, Alex didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Mayat Marwa al-Sherbini telah diterbangkan ke tempat kelahiran dan kediaman kedua-dua ibu bapanya di Mesir untuk dikebumikan. Setibanya jenazah Marwa, ribuan rakyat Mesir yang berduka di atas kematiannya turut menyambut kepulangannya.
Ibu Marwa dalam nada sedih berkata, “Saya tidak pernah membayangkan anak saya akan menjadi mangsa pengganas dan kami tidak menyangka akan melihat gambarnya di dalam media. Saya juga tidak pernah menyangka saya akan kehilangan anak saya dalam keadaan sedemikian.”
Kesedihan ibu tua itu turut menyentap perasaan umat Islam khususnya masyarakat Mesir yang terperanjat dengan tragedi yang berlaku. Namun, kematian wanita ini kurang diketahui.
Disebabkan dunia ketika itu lebih dibanjiri dengan kisah kematian Michael Jackson, kisah seorang wanita Islam bernama Marwa al-Sherbini yang syahid kerana mempertahankan agamanya itu tidak mendapat liputan meluas sebagaimana matinya seorang Raja Pop dunia.