“Mana kedua-dua kaki dan tangan Bella?” – Kakak.
Hati mana tidak sedih dan memberontak apabila melihat sekujur tubuh adik tersayang yang dimandi dan dikafankan tanpa kedua-dua kaki dan tangan.
Itu perasaan ditanggung keluarga Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, apabila rangka ditemui pada Jumaat minggu lalu sebenarnya tanpa kaki dan tangan.
Perkara itu didedahkan kakak kepada Bella, Norhisham, 36, dalam coretan terbaru di Facebook yang mengisahkan keadaan adiknya itu ketika jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Rabu lalu.
“Selesai urusan, tiba masa tuntut jenazah di Forensik HSI. Allahuakbar.. Allahuakbar… terkejut saya bila tengok rangka Bella.
“Hancur hati sehancur-hancurnya bila terima Bella dalam keadaan macam ni. Kenapa buat adik saya macam? Hanya tengkorak kesan pecah kena hentak benda tumpul, tulang rusuk, punggung sahaja.
“Mana kedua-dua kaki dan tangan Bella? Rasa macam nak memberontak… nak mengamuk… Rasa nak menjerit sekuat hati bagi semua tahu betapa hancur hati saya.
“Namun, apakan daya, saya hanya seorang kakak yang perjuangkan pencarian adik tapi saya dapat rangka yang tak sempurna,” tulisnya.
Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu berkata, dia bersama emak dan seorang ustazah hanya mampu menitiskan air mata sewaktu memandikan rangka Bella.
Katanya, mereka memandikan Bella dengan keadaan air mata berlinangan mengenangkan betapa azabnya ditanggung adiknya ketika itu.
“Kenapa pelaku sangat kejam… sangat zalim? Kenapa buat Bella sehingga begitu tragik? Kami tersangat rapuh dalam situasi ini. Kenapa pengakhiran pencarian saya macam ni? Siapa boleh carikan untuk saya selepas 36 hari?
“Saya nak Bella complete (sempurna). Tolonglah faham perasaan apa yang saya rasa, besar sungguh dugaan saya dan keluarga hadapi ketika ini.
“Emak saya kehilangan Bella, tapi masih ada saya. Tapi saya hilang adik, siapa lagi yang ada untuk saya? Kosong!,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ayu juga menjawab pertanyaan pihak lain kenapa dia bertindak luar dugaan ketika teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, dituduh di Mahkamah Majistret, Rabu lalu.
“Selepas pertuduhan di mahkamah ada yang pertikai kenapa lebih-lebih nak ada rusuhan. Perasaan mendidih marah itu datang tiba-tiba apabila tengok tertuduh.
“Bersusah payah siang malam saya mencari Bella.. tanya sana sini… masuk ceruk-ceruk, rupanya dia tahu sesuatu tapi disorok.
“Terbayang muka penipuan dia, ‘saya tak tahu kak saya dah tinggal dia tepi jalan, ada orang ambil’.
“Tapi, sebenarnya kau dah bunuh dia, keadaan sangat emosi, hancur terluka marah semua ada. saya dah beritahu awal-awal boyfriend (teman lelaki Bella) tahu sesuatu,” katanya.