‘Mak Cik Kemboja’ perlekeh orang melayu malas didenda RM40,000

Photo of author

By Syima Iza

‘Mak Cik Kemboja’ perlekeh orang melayu malas didenda RM40,000.

Selepas setahun memuat naik hantaran video di TikTok yang memperlekehkan orang Melayu sebagai malas, Mariyah Yaakob atau lebih dikenali sebagai ‘Mak Cik Kemboja’ telah didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Memetik Berita Harian, mahkamah yang sama bagaimanapun membebaskan anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 23, dengan bon jaminan berkelakuan baik sebanyak RM10,000 tanpa cagaran selama setahun beserta seorang penjamin warga Malaysia atas kesalahan memulakan hantaran video tersebut di media sosial.

'Mak Cik Kemboja’ perlekeh orang melayu malas didenda RM40,000

Hakim Azaraorni Abd Rahman memutuskan hukuman itu selepas Mariyah, 48, dan Ezuan Hafsham masing-masing menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka pada perbicaraan kes hari ini.

Dalam penghakimannya, beliau membuat pertimbangan maksimum fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan serta memerintahkan Mariyah dipenjara enam bulan jika ingkar membayar denda itu, namun tertuduh melangsaikannya.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar berhujah memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap dua beranak itu.

Katanya, bermula dengan video kenyataan oleh tertuduh pertama yang amat mengguris hati kerana menyentuh bangsa Melayu dan dimuat naik di TikTok oleh tertuduh kedua menyebabkan 23 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenainya termasuk 12 di Melaka.

“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ dan kerana itulah kes ini berada di mahkamah hari ini.
“Dalam isu 3R (kaum, agama, raja-raja) sepatutnya tertuduh pertama lebih prihatin dan tidak sewenang-wenangnya berkata-kata hingga boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.
“Tertuduh kedua pula sebagai orang terpelajar boleh berfikir apa kesan hantaran video itu. Jika buat video untuk ditonton sendiri di rumah tiada ada isu, tapi bila dimuat naik ke media sosial, inilah kesannya,” katanya.

Sementara itu, peguam Kamal Hisham Jaafar memohon Mariyah dikenakan denda minimum atas beberapa alasan. Antaranya, menanggung tiga anak masih bersekolah, ibu berusia 70 tahun serta sebuah pusat tahfiz di Johor Bahru menempatkan pelajar anak yatim dan miskin.

Bagi Ezuan Hafsham, beliau merayu supaya tertuduh tidak didenda atau dipenjarakan dan hanya diberikan bon berkelakuan baik mengikut peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah kerana masih mengikuti pengajian berkembar di University of Reading di Malaysia dan di England.

Manakala Ezuan Hafsham yang juga Pengarah Mariyah Holding, pula dituduh secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Baca Lagi:
Penduduk rakam ular sawa gergasi sedang berenang dalam air banjir raih tontonan 14 juta
Rakan dedah Ronaldo ada hajat peluk Islam
Kesian dengar luahan suami, isteri rakam nak bagi satu dunia tengok dikecam netizen