Majikan kurang 5 pekerja perlu bayar gaji minimum RM1,500 bermula hari ini.
Penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 akan dilaksanakan bermula esok membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja. Ia membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik.
Pelaksanaan ini telah diputuskan kerajaan akhir 2022, selepas majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibenarkan menangguhkan pemberian gaji minimum sehingga enam bulan, berbanding ditetapkan 1 Januari lalu sebelum ini.
Pelaksanaan gaji minimum baharu diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April, tahun lalu.
Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 kemudiannya dikuatkuasakan 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.Namun bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, kerajaan membenarkan penangguhan pelaksanaan gaji minimum itu sehingga hari ini.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, dilaporkan berkata sebelum ini, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.