Mahu lariskan jualan & senang dapat kerja, masyarakat di China kini fokus belajar bahasa Melayu.
Hubungan Malaysia dan China yang semakin erat membuka peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk mengunjungi negara tersebut setiap tahun.
Di Beijing, peniaga di sebuah pasar popular, Pasar Pearl, menggunakan taktik unik untuk menarik perhatian pelancong Malaysia.
Menurut laporan Bernama, di tengah kesibukan pasar tersebut, wartawan mendengar suara dua wanita, Fatimah Liu dan Aisha, yang mempromosikan jualan mereka dalam bahasa Melayu.
“Mari adik, mari kakak, barang murah tapi berkualiti!” pekik mereka kepada pengunjung.
Fatimah dan Aisha, yang menjual barangan rumah seperti cadar dan alas meja, berkongsi bahawa kemampuan mereka berbahasa Melayu bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan tetapi juga membantu membina hubungan yang lebih erat dengan pelanggan Malaysia.
Keistimewaan Berbahasa Melayu
“Urus niaga menjadi lebih mudah dan menguntungkan apabila pelanggan mendengar kami bertutur dalam bahasa Melayu.
“Sebab itu, saya sentiasa galakkan peniaga di sini belajar bahasa Melayu, bukan hanya fokus pada bahasa Inggeris.
“Kalau belajar bahasa Melayu boleh meningkatkan perniagaan, kenapa tidak mencubanya?” kata Fatimah.
Aisha pula berkongsi bahawa mereka mula belajar bahasa Melayu secara tidak formal 15 tahun lalu apabila menerima ramai pelanggan dari Malaysia di kedai mereka.
“Saya mula dengan mempelajari satu perkataan sehari, seperti makan, cuci, dan wangi. Lama kelamaan, saya dapat membentuk ayat lengkap dan semakin lancar,” kongsinya.
Aisha mengakui pada mulanya agak sukar, tetapi latihan dan interaksi berterusan menjadikan dia lebih yakin. Kini, kebolehan berbahasa Melayu bukan sahaja meningkatkan jualan, malah membolehkan mereka bekerjasama dengan ejen di Malaysia dan Indonesia untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Bahasa Melayu Buka Peluang Kerjaya
Selain perniagaan, kemahiran berbahasa Melayu turut membuka peluang pekerjaan kepada seorang pelajar, Wu Keyi, yang kini bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat logistik di Shenzhen.
“Saya bertuah kerana belajar bahasa Melayu. Apabila majikan mengetahui saya boleh bertutur bahasa ini, mereka terus menawarkan jawatan itu.
“Syarikat itu sedang mengembangkan pasarannya ke Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura, dan mereka memerlukan pekerja yang mahir berbahasa Melayu.
“Tambahan pula, saya memahami budaya dan gaya hidup Malaysia, yang memberikan kelebihan daya saing kepada saya,” katanya.
Peluang yang Berterusan
Fenomena ini membuktikan bahawa penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja membuka ruang untuk perniagaan tetapi juga mencipta peluang kerjaya dalam sektor yang semakin berkembang di Asia Tenggara.