
Mahkamah tinggi arah Anwar jawab saman fitnah Tun M sebelum 14 Jun
Mahkamah tinggi arah Anwar jawab saman fitnah Tun M sebelum 14 Jun.
Datuk Seri Anwar Ibrahim diarahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini untuk menjawab saman fitnah yang dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, pada atau sebelum 14 Jun ini.
Kes saman fitnah yang difailkan Dr Mahathir itu adalah berhubung ucapan Anwar pada Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu.
Peguam Anwar, Alliff Benjamin Suhaimi ketika dihubungi media, berkata anak guamnya diarahkan memfailkan pernyataan pembelaan ketika prosiding pengurusan kes saman terbabit hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Elizabeth Low.
Katanya, peguam Mahathir pula diarahkan memfailkan jawapan pada 6 Julai ini manakala mahkamah menetapkan pengurusan kes lanjut pada 7 Julai.
Perkara itu turut disahkan peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Melalui saman fitnah yang difailkan pada 3 Mac lalu, Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Beliau turut mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas perdana menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.
Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), itu berkata kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.
Katanya, kenyataan Anwar bahawa kononnya beliau hanya membincangkan soal rakyat selepas ‘kehilangan kuasa’ adalah tidak benar yang bertujuan menjatuhkan imejnya.
Tegas Dr Mahathir, semua kenyataan itu menimbulkan persepsi buruk dan mencalarkan imejnya sebagai negarawan yang mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang disegani di seluruh Malaysia dan dunia.
Selain ganti rugi tauladan sebanyak RM150 juta, Dr Mahathir juga menuntut ganti rugi am dan perintah antaranya Anwar dengan serta merta menarik balik dan memadamkan kesemua kenyataan itu serta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya.