‘Macam orang gila talak’ – Datuk Hamidin dedah kisah sebenar disebalik perletakan jawatan Pan-Gon.
Selepas menyimpan rasa tidak puas hati selama lebih sebulan, akhirnya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, membuka kisah sebenar di sebalik peletakan jawatan bekas jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Hamidin menyatakan rasa kecewa apabila peminat dan penyokong menghentam FAM kerana didakwa tidak mempertahankan pengendali dari Korea Selatan itu.
Menurut Hamidin, sebenarnya Pan-gon meminta untuk dilepaskan atas alasan masalah keluarga, tetapi hakikatnya pengendali tersebut telah membuat perjanjian dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Hamidin menjelaskan bahawa tindakan Pan-gon itu sebenarnya melanggar kontrak, di mana beliau sepatutnya kekal membimbing pasukan sehingga hujung tahun depan.
“Bukan untuk mencari ‘kambing hitam’ atau alasan. Di sini, FAM langsung tidak bersalah, tetapi kebenaran ini memang pahit untuk diterima.
“Selepas Pan-gon balik bercuti selama dua minggu dan kemudian minta lagi seminggu, beliau bertemu dengan saya dan mohon untuk dilepaskan lebih awal untuk pulang ke Korea atas urusan isteri dan keluarga.
“Pada mulanya, saya meminta beliau bertahan sehingga kontrak habis. Keesokan harinya, beliau berjumpa saya lagi, meminta sekali lagi seperti ‘orang gila talak’, dan saya menyuruhnya tunggu sehingga hujung tahun ini pula.
“Tetapi pada hari ketiga, sehari sebelum saya pergi ke Mallorca (untuk meninjau persiapan atlet negara untuk Sukan Olimpik), beliau merayu agar saya melepaskannya juga.
“Akhirnya, saya bersetuju. Saya tahu keputusan saya itu akan membuatkan peminat marah kepada FAM, tetapi ini adalah kebenaran yang peminat perlu tahu.
“Saya kecewa kerana FAM menjadi mangsa, sedangkan apa yang dilakukan oleh Pan-gon memang tidak profesional. Beliau tidak menceritakan hal sebenar dan sebaliknya memberi alasan mengenai keluarga, padahal tujuannya adalah untuk pergi ke Ulsan Hyundai,” kata Hamidin.
Hamidin juga menambah bahawa mengenangkan jasa-jasa Pan-gon sepanjang bersama Harimau Malaya, beliau mengambil pendekatan baik dengan tidak menyaman.
“Kalau ikutkan, saya boleh sahaja untuk menyaman dan meminta pampasan. Tetapi saya bukanlah orang yang berdendam.
“Cuma saya terkilan dengan apa yang beliau lakukan. Beliau tidak profesional, dan akhirnya FAM pula yang dikritik oleh peminat,” katanya.
Untuk rekod, Pan-gon yang membawa skuad Harimau Malaya ke Piala Asia di Qatar pada Januari lalu selepas 43 tahun, meletakkan jawatan pada bulan lalu dan pembantunya, Paulo Marti Vicente, telah dilantik mengisi kekosongan itu.