Lubuk emas bernilai lebih RM371 billion ditemui di selatan China.
Deposit emas dengan anggaran rizab lebih 1,000 tan bernilai lebih $83 bilion (~RM371 bilion) telah ditemui di selatan China, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Menurut Biro Geologi Hunan, ahli-ahli geologi telah menemui lebih 40 serpihan emas pada kedalaman 2,000 meter di bawah permukaan lombong emas Wangu di daerah Pingjiang.
Pada kedalaman 3,000 meter, lokasi itu dianggarkan mempunyai simpanan lebih 1,000 tan emas, kata mereka lagi.
“Banyak teras batu yang digerudi menunjukkan terdapat emas,” kata pakar mencari bijih biro berkenaan, Chen Rulin.
Beliau berkata, satu tan bijih dalam jarak 2,000 meter mengandungi sehingga 138 gram emas.
Difahamkan para ahli geologi di sana telah menggunakan teknologi pencarian bijih moden termasuk pemodelan geologi 3D dalam mengesan lubuk emas berkenaan.
Penemuan terbaharu itu berlaku ketika harga emas meningkat ke paras tertinggi di tengah-tengah kemelut global, manakala mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) pula semakin lemah.
Dengan penemuan ini, ia dijangka berupaya merangsang ekonomi negara kuasa besar itu secara tidak langsung. China merupakan pengeluar emas terkemuka dunia, menyumbang kira-kira 10 peratus daripada pengeluaran global pada 2023 berdasarkan data Majlis Emas Dunia.