Luar penampilan nampak baik dan alim, tak sangka lepas kahwin perangai isteri jadi lain.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin, sudah tentu rumah tangga akan mengalami pasang surutnya.
Sebab itu, pentingnya komunikasi dalam rumah tangga agar masalah dapat diselesaikan dengan segera dan tidak berlarutan.
Perangai dan kelakuan pasangan mungkin tidak sama seperti semasa bercinta, apatah lagi selepas berkahwin. Pasti ada sisi mereka yang boleh mengejutkan dan tidak disangka. Baik buruk pasangan haruslah diterima dan diperbaiki bersama.
Namun, tular di Facebook selepas seorang lelaki meluahkan rasa kesalnya selepas mengetahui perangai sebenar isterinya selepas berkahwin, yang menjadi bualan ramai.
Terima Cinta Isteri Sebab Tak Nak Lukakan Hati
Menerusi satu posting di laman Facebook, seorang lelaki berkongsi kisah rumah tangganya yang telah mengecewakan dirinya.
Dia mempunyai sepasang anak berusia 4 tahun dan 3 bulan dan bekerja sebagai seorang doktor perubatan di hospital kerajaan.
Menurutnya, dia dan isteri mula berkenalan di Facebook. Ketika itu, isterinya sedang belajar di sebuah universiti Islam di Malaysia, sementara dia pula sedang belajar di kolej perubatan di Mesir.
Mereka berkenalan atas dasar bisnes dan pada masa itu, dia langsung tidak mempunyai perasaan terhadap isterinya. Namun, selepas 4 bulan menguruskan bisnes dan berhubung secara PJJ, isterinya meluahkan perasaan bahawa dia jatuh cinta terhadapnya.
Lelaki berkenaan berkata sebelum ini dia tidak pernah bercinta. Perkara itu membuatkannya rasa gembira pada mulanya, namun kemudian dia berasa serba salah dan takut untuk menolak cinta isterinya. Dia hanya menganggap isterinya sebagai kawan atau kakak sahaja.
“Untuk dipendekkan cerita, saya terima isteri atas dasar kesian dan tak nak kecewakan dia. Isteri terus merancang tarikh pernikahan kami. 6 bulan berhubung (sekalipun tak pernah berjumpa, ada Skype, isteri berpurdah),” tulisnya.
Luar Penampilan Nampak Baik dan Alim, Tak Sangka Lepas Kahwin Jadi Lain
Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas mereka berkahwin. Isteri mula menunjukkan perangai sebenar sehingga dia nekad untuk berpisah.
“Selepas menikah, saya habiskan cuti musim panas saya selama 2 minggu di Malaysia, berhoneymoon dan terus pulang ke Mesir. Ada lebih kurang setengah tahun lagi untuk habiskan pengajian saya. Saya dan isteri, macam biasa, contact melalui WhatsApp, Skype. Isteri dapat kerja sebagai eksekutif di bank terkemuka Malaysia. Saya gembira untuknya. Selepas 2 minggu bekerja, 3 bulan selepas perkahwinan, isteri keguguran anak pertama.
“Sejak itu, kehidupan saya mula teruk. Isteri mula maki hamun saya, cakap saya tak ada di Malaysia untuk bantu dia dalam pantang, dia gugur sebab tertekan suami jauh. Maki hamun, rajuk, gaduh, siap minta cerai berkali-kali berterusan sehingga saya tamat pengajian dan pulang ke Malaysia.
“Untuk dipendekkan cerita, saya dan isteri duduk serumah, dia masih bekerja di bank, saya dapat posting housemanship di hospital KL. Baru saya tahu, isteri ini sangatlah indah khabar dari rupa. Maki hamun saya, sepak terajang saya bila marah, rumah tak pernah kemas, boros (suka belanja besar), harga tudung dan jubah sahaja cecah RM500 untuk sepasang, dia buka purdah atas polisi syarikat sebab selalu berjumpa dengan klien. Saya okay sahaja, tak pernah masak, tak hormat ibu bapa saya, bahkan di kampung dia berani tinggikan suara dan kuis saya dengan kaki di rumah keluarga saya.
“Tak pernah dengar luahan hati saya, sedangkan semasa HO, beban kerja sangat banyak, kerenah pesakit, staf, rakan sekerja, kerja shift, on-call lagi, saya sangat stres. Setiap kali memandu pulang dari kerja, non-stop saya menangis,” luahnya.
Isteri Janji Mahu Berubah Lepas Suami ‘Kantoi’ Kenal Orang Baru, Tapi Perangai Tetap Sama
Oleh kerana sering berjauhan dengan isterinya, hatinya makin tawar dan dia mula berjinak-jinak dengan Tinder, sehingga berkenalan dengan seorang wanita bernama Anna. Menurutnya, Anna merupakan wanita yang cantik, bertudung, berpelajaran tinggi, dan juga bekerjaya.
Dia mengaku sebagai bujang dan mereka menjalinkan hubungan selama hampir dua tahun.
“Setiap majlis kenduri, parti hari jadi, makan malam keluarga Anna, saya pergi. Anna memang tak tahu status saya. Facebook saya tiada gambar anak atau isteri. Isteri saya? Langsung tak pernah tanya saya ke mana, check telefon saya atau pedulikan saya. Kami hidup macam roommate sahaja. Tak ada anak lagi, tak bertegur sapa. Kalau WhatsApp pun, bila saya kasi receipt bank in duit,” katanya.
Namun, dia akhirnya memberitahu isterinya mengenai hubungan mereka. Isterinya nekad untuk berubah, dan Anna pula sudah menyekat nombornya.
Selepas kejadian itu, isterinya mula berubah sedikit demi sedikit dan semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Sehinggalah mereka dikurniakan anak kedua dan situasi kembali seperti dahulu.
“Selepas setahun isteri hamil anak kedua, dia kembali dengan perangai lama. Anak sulungnya pun mula tak peduli lagi. Rumah bersepah, hari-hari saya makan maki hamun dia, duit dah tak nak kongsi. Makan hati berulam jantung saya ni. Hari-hari saya dengan anak makan kat kedai atau drive-thru McD. Isteri setiap masa dengan telefon, tak pun jumpa klien, rakan bisnes, atau jumpa kawan-kawan,” luahnya.
Dia juga ada niat mahu berpisah, tetapi takut akan kisah lamanya dibongkarkan oleh isterinya dan menjadi tular. Dia meminta pendapat orang ramai mengenai isunya.