LIMA23: Sanusi tetap mahu hadir walaupun tak dijemput, beli meja lipat, bawa teropong duduk tepi pagar. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap akan hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), walaupun tidak mendapat sebarang jemputan rasmi.
Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau mungkin hadir sebagai pengunjung biasa dan perlu membawa teropong bagi meninjau pesawat pada pameran antarabangsa yang dijadual berlangsung Mei depan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak akan bersikap lepas tangan apabila pelbagai persediaan LIMA’23 sedang giat dilakukan termasuk membabitkan penginapan, mobiliti, pengangkutan dan pihak keselamatan.
“Saya adalah Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), saya juga Menteri Besar dan banyak lagi jawatan yang berkaitan, jadi kalau saya tak dijemput ke LIMA’23, saya tetap akan hadir.
“Saya akan bawa teropong dan pergi duduk tepi pagar Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Saya kata pada pegawai, jika tak dijemput kita beli meja lipat dan teropong seorang satu, kita duduk tepi pagar kita tengok kapal terbang dan kapal laut.
“Tepi pagar itu ada orang jual laksa (boleh makan-makan), saya pergi sebagai pengunjung tak akan mereka nak halau,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Sanusi menyatakan pihaknya akan memberikan komitmen 100 peratus demi kelancaran dan pelaksanaan semua acara pada LIMA’23 dapat berlangsung dengan sempurna.
Sebelum ini, beliau mendakwa tidak dijemput ke program berkenaan dengan semua acara pada pameran membabitkannya sebagai Menteri Besar digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali.
Sementara itu, mengulas mengenai Kedah yang kini dilihat sering menjadi sasaran kritikan Kerajaan Persekutuan, Muhammad Sanusi berkata, situasi itu berlaku kerana beliau dilihat sebagai seorang pejuang.
“Ada orang di Kuala Lumpur dan Selangor tanya mengapa Menteri Besar Kedah jadi sasaran ‘tembakan’ di Parlimen, saya jawab kerana saya pejuang. Orang lain yang tidak ‘ditembak’ bukan pejuang, jadi orang tidak cari gaduh.
“Orang cari pasal, maka saya kena jawab, macam isu tanah rizab Melayu itu satu usaha memberi gambaran buruk kepada kerajaan negeri seolah-olah kita mengabaikan kepentingan tanah rizab sehingga hilang 5,100 hektar tak diganti, sedangkan ia tak berlaku,” katanya.