Lima anggota DOF cedera dilibas ikan arapaima gergasi

Photo of author

By Syima Iza

Lima anggota DOF cedera dilibas ikan arapaima gergasi.

Lima anggota Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) cedera akibat dilibas oleh ikan arapaima gergasi semasa operasi tangkapan spesies invasif itu di sini pada hari Jumaat.

Operasi yang berlangsung lebih tujuh jam bermula dari 9 pagi itu melibatkan sepasukan anggota DOF Melaka dengan kerjasama DOF Selangor, namun mereka menghadapi kesulitan kerana spesies tersebut bertindak agresif.

Lima anggota DOF cedera dilibas ikan arapaima gergasi

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata lima anggota yang cedera, berusia antara 35 hingga 59 tahun, telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah.

Menurutnya, dua anggota mengalami sesak nafas dan bengkak di lutut akibat terkena libasan kepala ikan arapaima, manakala tiga lagi mengalami cedera ringan di lutut dan dada.

“Operasi itu bagaimanapun berjaya menangkap tiga arapaima seberat 200 kilogram (kg) setiap ekor dengan panjang kira-kira 2.7 meter.

“Tiga ekor arapaima bersaiz mega ini berjaya dikeluarkan pada jam 4.30 petang,” katanya kepada Sinar Harian pada hari Jumaat.

Beliau menjelaskan bahawa ikan-ikan tersebut diberi makan oleh penduduk setempat dan pengunjung restoran berdekatan setiap hari.

Katanya lagi, ikan itu diserahkan secara sukarela oleh pemilik setelah menyedari bahawa membela ikan tersebut adalah salah di sisi undang-undang.

“Serahan secara sukarela ini merupakan satu kesedaran kepada pemilik, dan mereka telah diberi amaran agar tidak mengulangi kesilapan memiliki dan membela ikan larangan.

“Kesemua ikan ini telah dibawa ke Zoo Negara,” ujarnya.

Tambah Adnan, siasatan mendapati ikan itu dibela sejak kecil oleh pemiliknya dan diletakkan di dalam takungan air di bawah bangunan terbiar.

“Tindakan diambil DOF Melaka melalui aduan awam yang risau dan prihatin terhadap kesan terhadap biodiversiti spesies ikan tempatan,” katanya.

Baca Lagi:
Wanita dakwa lihat pontianak berdiri tempat basuh pinggan loncat masuk bilik tidur
Wanita digelar ‘Ratu Bertuah’ dedah rahsia menang 500 kali cabutan bertuah dalam masa setahun
Kaitkan namanya dalam isu cerai Fattah dan Fazura, Rosyam Noor mahu heret individu sebar fitnah ke mahkamah