
Lepas baca khutbah, Anwar pimpin Andrew bersyahadah peluk Islam di New York
Lepas baca khutbah, Anwar pimpin Andrew bersyahadah peluk Islam di New York.
Perdana menteri, Anwar Ibrahim berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki yang memeluk Islam selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), tengah hari semalam.
Ketika Perdana Menteri beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew Vinals mahu memeluk Islam dan memintanya tampil.
Seorang pegawai masjid kemudian dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan, lapor Berita Harian.
Menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi.
Sementara itu Bernama melaporkan Anwar yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, adalah pemimpin asing pertama diberi penghormatan menyampaikan khutbah di pusat itu, yang merupakan masjid pertama dibuka di bandar raya New York.
Dalam khutbahnya yang disampaikan di hadapan lebih 800 jemaah, Anwar berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Kami sentiasa cuba menggalakkan persefahaman, toleransi dan keperluan untuk memahami budaya dan agama orang lain. Ia penting bagi kami untuk hidup rukun damai dan harmoni,” katanya.
Pada masa yang sama, perdana menteri berkata umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan sesama mereka, serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.
Anwar turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan konsep “Malaysia MADANI” yang diperkenalkannya di Malaysia serta ancaman Islamofobia di seluruh dunia.
“Apabila kejadian membakar Al-Quran berlaku, Malaysia mencetak satu juta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia. Malah kami hantar 15,000 naskhah ke Sweden supaya mereka dapat melihat dan memahami, dan bukan bergaduh kerana jahil,” katanya.
Imam pusat itu, Saad Jalloh berkata hari ini merupakan detik bersejarah bagi pusat itu, menerima kehadiran Anwar dan rombongannya, kerana menurutnya Anwar merupakan pemimpin pertama melawat masjid berkenaan.