Lembaga Sekolah, PIBG SMJK dan SMC di Pulau Pinang bantah penggunaan Bahasa Melayu di kelas

Lembaga Sekolah, PIBG SMJK dan SMC di Pulau Pinang bantah penggunaan Bahasa Melayu di kelas

Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Mereka juga menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains serta Matematik.

Lembaga Sekolah, PIBG SMJK dan SMC di Pulau Pinang bantah penggunaan Bahasa Melayu di kelas

Pada masa ini, Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan berkata, surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada pengetua 36 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga 52 SMJK dan SMK.

Beliau berkata, surat itu secara rasmi mengumumkan bahawa salah satu arahan kementerian adalah menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini.

Katanya, kelas terbabit juga hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang pelajar.

“Kami, wakil Lembaga Sekolah dan 11 PIBG sekolah di Pulau Pinang, ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam semua SMJK dan SMC di Pulau Pinang.

“Ia menyebabkan percanggahan besar dalam kalangan ibu bapa yang menentang keras dasar itu. Ia juga menimbulkan masalah yang tidak perlu kepada pentadbiran sekolah.

“Akibatnya, ia menimbulkan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar.

“Dasar ini sama sekali tidak mengendahkan kehendak ibu bapa dan bertentangan dengan hasrat asal DLP, yang sepatutnya memperkukuh dan melengkapkan pelajar dengan lebih baik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) untuk meneruskan matlamat ‘pelan induk industri baharu 2030,” katanya.

Menurut Hean Eng, DLP dalam bidang Sains dan Matematik bukan hanya dapat memastikan kesinambungan pelajar antara pendidikan menengah dan pengajian lanjutan di kolej dan universiti malah meningkatkan daya saing pelajar di peringkat antarabangsa.

“Sekiranya hasrat kementerian untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Melayu, maka kementerian harus lebih berusaha dalam mereka bentuk semula sukatan pelajaran Bahasa Melayu dan mengkaji semula kaedah pengajarannya daripada menggunakannya (Bahasa Melayu) sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik malah mungkin memberi kesan buruk kepada pelajar yang sudah ‘lemah’ dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Perempuan Cina Pulau Pinang, Dr Goh Huck Keen berkata, mereka memulakan kelas tahun ini tetapi ibu bapa keberatan membenarkan anak mereka belajar di dalam kelas itu.

Katanya, pelajar untuk kelas itu dipilih berdasarkan keputusan darjah enam mereka.

“Ibu bapa, yang anak mereka berada di dalam kelas, melihat ini sebagai satu bentuk hukuman paksa ke atas anak mereka dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Mereka juga secara berterusan membangkitkan perkara ini dengan pihak pentadbir sekolah,” katanya.

Setiausaha Lembaga Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang , Foo Wan P’ng berkata, mereka menubuhkan satu kelas masing-masing di Sekolah Menengah Chung Ling, Butterworth dan Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang.

“Di Butterworth, hanya beberapa pelajar saja di dalam kelas, manakala di Pulau Pinang, tiada seorang pun pelajar. Kami menghadapi tentangan hebat daripada ibu bapa.

“Pegawai Jabatan Pendidikan negeri datang meninjau pelaksanaan kelas itu dan kita beritahu situasi yang kita hadapi.

“Mereka memberitahu kami mereka akan menempatkan pelajar di dalam kelas,” katanya.

Baca Juga:
Kieda Crepe nampak kurus selepas kejadian rumah kena rompak
Pemandu Axia maut, kereta leper macam ‘pancake’ dihempap lori simen
Guru besar ‘kantoi’ curang, dicekup suami berdua-duan dengan guru lelaki dalam bilik
CATEGORIES