Lelaki ugut bunuh Baby Shima dicekup polis.
Mahkamah Majistret Sibu membenarkan suspek yang mengugut bunuh penyanyi Baby Shima, ditahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata tahanan reman itu adalah untuk membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, suspek yang juga seorang pemandu lori berusia 35 tahun itu ditahan sekitar jam 9.15 malam tadi di Kota Sentosa, Sibu.
Penahanan suspek dibuat selepas laporan polis dibuat berikutan komen suspek di platform media sosial Facebook (FB) yang berbaur ugutan dan mengancam keselamatan penyanyi tersebut.
Antara ugutan yang diberikan adalah amaran supaya Baby Shima berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.