Lelaki tuntut pampasan RM1.3 juta kepada kerajaan berkaitan nombor plat MADANI.
Seorang ahli perniagaan telah mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.3 juta berhubung dakwaan penyalahgunaan dan pelanggaran harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri “Madani 1 hingga Madani 9999.”
Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim, menghantar surat tuntutan tersebut (LOD) secara serahan tangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan melalui firma guaman Raj & Sach, semalam.
Dalam LOD itu, dinyatakan bahawa Hasan Azhari adalah pemilik sah karya hak cipta “Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Hingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan di Malaysia,” yang didaftarkan secara rasmi dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
Beliau adalah pemunya dan pencipta hak cipta tersebut di bawah No Pemberitahuan: CRYL2023J00697. “Melalui surat bertarikh 27 Februari 2023 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, anak guam kami memohon kerjasama dengan agensi kerajaan untuk penjualan nombor plat khas ‘MADANI 1-9999’ berdasarkan karya hak cipta itu.
“Pada 14 April 2023, JPJ mengeluarkan kenyataan bahawa jabatan tersebut tidak mengeluarkan nombor pendaftaran siri MADANI dan menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai berita palsu.
“Pada 4 Ogos 2023, anak guam kami sekali lagi mengemukakan hasrat dan permohonan yang sama melalui surat kepada Perdana Menteri, dan surat tersebut diterima oleh Pejabat Perdana Menteri pada 26 September 2023.
“Pada 25 Oktober 2023, anak guam kami mengulangi cadangan yang sama melalui surat kepada Perdana Menteri,” jelas surat tersebut.
LOD itu turut menyatakan bahawa Hasan Azhari menerima surat pada 6 Februari lalu yang memaklumkan bahawa cadangannya sedang diteliti, namun tidak dapat dipertimbangkan kerana ketetapan sedia ada tidak membenarkan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), dan entiti lain selain JPJ.
Namun, melalui poster JPJ pada bulan lalu, beliau mengetahui bahawa JPJ telah mengeluarkan Notis Awam Nombor Pendaftaran Istimewa Siri MADANI dengan harga bidaan minimum bermula RM100.
“Tindakan ini bercanggah dengan makluman melalui surat bertarikh 31 Oktober dan 6 Februari yang mengguna pakai idea karya hak cipta anak guam kami secara tidak sah, yang merupakan pelanggaran hak cipta beliau.
“Anak guam kami mendapati ia melanggar hak intelek dengan menggunakan, menyalin, mengedar, dan mengubah karya hak cipta itu tanpa kebenaran dengan menjual nombor pendaftaran khas kenderaan ‘MADANI 1-9999,'” tambah LOD itu.
Sehubungan itu, ahli perniagaan tersebut menuntut JPJ dan Kementerian Pengangkutan membayar pampasan yang tidak dinyatakan bagi kerugian yang ditanggung akibat pelanggaran hak cipta itu.
Selain itu, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM1.3 juta, iaitu separuh daripada hasil penjualan nombor plat khas MADANI dalam masa tujuh hari daripada tarikh penerimaan LOD berkenaan.
Jika tuntutan tidak dipenuhi, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut jumlah ganti rugi tersebut.
Pada 24 Oktober lalu, media melaporkan harga keseluruhan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI ditutup dengan kutipan sebanyak RM2.6 juta.