Lelaki tunai nazar berenang dalam laut yang dipenuhi buaya selepas Probowo Subianto dilantik jadi Presiden Indonesia.
Seorang nelayan berusia 68 tahun nekad berenang menyeberangi lautan yang dipenuhi buaya demi menunaikan nazarnya selepas Prabowo Subianto dilantik sebagai Presiden Indonesia.
Aksi berbahaya itu dilakukan oleh lelaki tersebut di Teluk Hondolu, Kabupaten Buton, Sulawesi Tenggara pada 20 Oktober lalu, tanpa menggunakan sebarang alat bantuan pernafasan.
“Sebenarnya, saya sudah lama mengidolakan Bapak Prabowo. Semasa pilihan raya (pada Februari lalu), saya bernazar jika beliau terpilih menjadi presiden, saya akan berenang menyeberangi Teluk Hondolu.
“Meskipun di laut ini banyak buaya… Alhamdulillah, semasa saya berenang, tidak nampak seekor pun buaya, padahal biasanya buaya selalu dilihat oleh penduduk kampung ini,” kata Juhudin ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Desa Wasuamba pada 21 Oktober.
Juhudin berjaya menyeberangi lautan itu dari pantai Desa Wasuamba menuju Desa Bonelalo yang berjarak 1 kilometer. Aksinya sempat dirakam dan menjadi tular di media sosial. Malah, tindakannya itu mendapat sokongan daripada penduduk setempat.
Sebelumnya, Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad. Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia dari segi populasi, setelah memenangi Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.
Beliau, bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing memperoleh kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.
Prabowo, seorang bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga, BJ Habibie, yang dilantik pada usia 61 tahun.
Sementara itu, Gibran pula menjadi naib presiden termuda, mengatasi naib presiden pertama, Mohammad Hatta, yang ketika itu berusia 43 tahun.