Lelaki terkejut semua duit dibawa keluar dari ATM rupanya duit palsu.
Seorang lelaki di Indonesia terkejut apabila wang kertas yang dikeluarkan daripada sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) didapati palsu, lapor portal berita Abatanews semalam.
Kejadian di Makassar, Sulawesi Selatan
Insiden ini berlaku pada 1 Januari di bandar Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
Menerusi perkongsian di laman X oleh akaun @azamuddin91, lelaki bernama Muhammad Azamuddin menyedari wang kertas yang diterimanya adalah palsu ketika membeli ubat di sebuah farmasi.
“Saya diminta memberikan wang kertas yang lain kerana wang yang diberikan ternyata palsu.
“Saya kemudian menyerahkan wang kertas 50,000 rupiah (RM14) yang lain.
“Ini sangat aneh kerana semua wang yang ada di dalam dompet saya dikeluarkan dari mesin ATM,” tulisnya.
Reaksi Netizen di Media Sosial
Perkongsian tersebut telah mencatat lebih 2.9 juta tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
“Lebih kelakar apabila kerajaan buat diam dengan kes pengedaran wang palsu! Tiada penyelesaian!” luah seorang pengguna.
“Nak bayar tunai tapi wang palsu, bayar online pula ada caj!” tambah pengguna lain.
Kes ini membangkitkan persoalan tentang keselamatan dan ketelusan mesin ATM, selain menimbulkan kekecewaan orang ramai terhadap pihak berwajib yang dianggap tidak mengambil tindakan tegas terhadap isu pengedaran wang palsu.