Lelaki terkaya Asia bayar Justin Bieber RM47 juta menyanyi di majlis praperkahwinan anak

Photo of author

By Syima Iza

Penyanyi popular Justin Bieber mencipta rekodnya sendiri apabila menerima bayaran sebanyak RM47 juta untuk sebuah pesta pra perkahwinan anak kepada lelaki terkaya di Asia, Mukesh Ambani, iaitu Anant Ambani dan Radhika Merchant semalam.

Memetik laporan Times Of India, penyanyi asal Kanada itu diterbangkan khas ke India dan dikawal ketat dari lapangan terbang sehingga waktu berangkat pulang.

Bayaran mewah yang diterima Bieber sekali gus menewaskan jumlah diterima penyanyi Rihanna pada majlis pra perkahwinan Anant dan Radhika pada Mac lalu iaitu sebanyak RM38 juta.

Lelaki terkaya Asia bayar Justin Bieber RM47 juta menyanyi di majlis praperkahwinan anak

Pada majlis yang diibaratkan seperti konsert tersebut, suami kepada model Hailey Bieber itu mendendangkan lagu-lagu hitnya termasuk “Baby,” “Where Are U Now,” “All That Matters,” “Cold Water,” dan “Peaches.”

Acara turut diserikan dengan penampilan bintang Bollywood seperti Alia Bhatt, Ranveer Singh, dan Salman Khan.

Difahamkan, Anant dan Radhika dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan mereka pada 12 Julai depan.

Pasangan yang diberi jolokan ‘Crazy Rich India’ itu sebelum ini sering mengundang perhatian ramai apabila mengadakan pelbagai pesta mewah sempena perkahwinan mereka.

Pada Mac lalu, sebilangan individu terkaya dunia dilaporkan hadir ke majlis pra perkahwinan pasangan tersebut termasuk bilionair India, Gautam Adani; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Bill Gates; CEO Meta, Mark Zuckerberg; dan CEO Disney, Bob Iger.

Sekadar info, Ambani yang juga merupakan individu ke-10 terkaya di dunia merupakan pemilik Reliance Industries yang meliputi pelbagai bidang termasuk minyak, gas, petrokimia, dan industri telekomunikasi.

Baca Juga:
Kematian mengejut pemain muda China di gelanggang, ini penjelasan Dr Malar apa sebenar yang berlaku
Pemandu e-hailing maki, ludah penumpang, ugut dengan kayu panjang
Wanita berdepan detik cemas ular tedung terjuntai atas ‘water heater’ dalam bilik mandi