Saya tertanya-tanya sama ada ia memang betul pokok di dasar laut dalam seperti didakwa ramai orang atau sejenis hidupan air lain, demikian kata Mahmud Kechik.
Menurut Mahmud, 60, tiada seorang nelayan pun mengaku pernah melihat objek.
“Bentuk fizikalnya seperti tumbuhan kerana memiliki akar tetapi bersifat kenyal seperti getah selain berbau hanyir,” katanya.
Tambah Mahmud, ramai penduduk datang ke rumah untuk melihat objek itu dari jarak dekat sejak dia menjumpainya di Pantai Kelulut di sini seminggu lalu.
Jelasnya, dia pernah membakar sebahagian kecil objek itu dan ia mencair seperti lilin.
“Nama dan jenis objek itu masih menjadi tanda tanya kerana ia tidak pernah dilihat atau ditemui di pantai sebelum ini,” katanya.
Katanya lagi, ada segelintir nelayan mendakwa ia mungkin lemak ikan paus yang membeku.
Mahmud yang berasal dari Kampung Rhu Muda berkata keseluruhan objek itu dianggarkan seberat 8 kilogram.
Menurutnya lagi, memang menjadi rutin hariannya ke pantai setiap pagi mencari sesuatu yang berharga yang dihanyutkan air namun pertama kali menemui hidupan laut yang misteri itu.
Tambah Mahmud, dia sedia memberi kerjasama sekiranya ada pihak tertentu yang ingin membuat kajian ke atas hidupan laut yang ditemui itu seterusnya merungkai misteri disebalik penemuan itu.
Baca Juga: