Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Jan berkongsi kisahnya tentang ketiadaan parkir yang menyebabkan dia terpaksa meletakkan keretanya di tepi simpang tiga sebuah PPR di Subang Jaya.
Masalah parkir kenderaan sering menjadi isu utama yang dihadapi oleh kebanyakan individu. Ini kerana kebanyakan kediaman hanya menyediakan ruang parkir yang terhad hingga menyebabkan segelintir penduduk terpaksa meletakkan kenderaan mereka di lokasi lain yang berhampiran dengan rumah.
Namun, pemilik kenderaan harus berhadapan dengan risiko seperti kereta disaman atau rosak sekiranya meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.
Kereta Dirosakkan Gara-Gara Parkir Tepi Simpang Tiga
Hanya kerana meletakkan kenderaan di tepi simpang tiga, sebuah kereta Perodua Kancil milik seorang pengguna Facebook dirosakkan. Menerusi hantaran yang dikongsikan semula di Kumpulan Facebook SUBANG-Subang Perdana-Kg Melayu Subang-Paya Jaras-Kota Damansara, seorang pengguna Facebook meluahkan rasa sedih apabila melihat cermin sisi kereta Perodua Kancil kesayangannya dipatahkan oleh seorang individu yang tidak dikenali.
Ia berikutan tindakannya yang meletakkan kenderaan di tepi simpang tiga kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2. Jelas pengguna Facebook yang dikenali sebagai Jan itu, ketiadaan parkir menyebabkan dia mengambil keputusan untuk meletakkan keretanya di situ.
Dia turut menjelaskan bahawa dia merupakan orang baru di kawasan tersebut yang hanya datang menumpang di rumah kakaknya. Malah, bagi memudahkan pergerakan orang lain, dia telah melipat cermin sisi dan menurunkan brek tangan.
“Assalamualaikum. Saya bukanlah orang kaya, hanya pakai kereta buruk Kancil menumpang rumah kakak di PPR Lembah Subang 2 selepas kematian mak saya dua minggu lepas. Jadi saya orang baru di situ.
Malam tadi puas saya mencari parkir dan terpaksa saya parkir di tepi simpang tiga. Side mirror (cermin sisi) saya lipat dan handbrake (brek tangan) saya turunkan kalau-kalau saya menganggu lalu lintas, boleh tolak kereta saya ke depan,” tulisnya.
Terkejut Tengok Keadaan Kereta, Siap Dapat Nota Amaran
Tambahnya, ketika dia mahu mengalihkan kereta, pemuda berkenaan terkejut melihat keadaan keretanya. Malah, dia turut mendapat nota yang ditulis pada kertas tisu yang berbentuk amaran.
“Lain kali jangan parkir dekat sini kalau sayang kereta. Kalau orang lain tak parkir, awak pun janganlah pandai-pandai parkir sini. Amaran pertama,” tulisan di tisu tersebut.
Pemuda Berpendapat Perlu Buat Hebahan Dalam Kumpulan WhatsApp
Sedih melihat satu-satunya kereta yang digunakan untuk membawa arwah ibunya ke hospital, pemuda berkenaan berpendapat individu terbabit sepatutnya menghebahkan kesalahannya itu menerusi kumpulan WhatsApp dan bukan bertindak sedemikian.
“Kalau saya salah mungkin boleh bertoleransi dengan cara lain, bagitahu dalam group (kumpulan) WhatsApp PPR Lembah Subang, dalam tu ada kakak, abang ipar saya dan jiran kampung saya. Apa patut saya buat ya? Kereta inilah saya gunakan untuk ulang alik bawa mak ke hospital sampai dia pergi,” tulisnya.
Hasil semakan kami di grup Facebook Tanya Peguam mendapati hantaran tersebut telah pun dipadam.
Hantaran Undang Pelbagai Reaksi Dari Pengguna Facebook
Hantaran yang dikongsikan semula itu nyata mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna Facebook.
Rata-rata daripada mereka mengecam tindakan individu yang merosakkan kenderaan milik lelaki itu.
Malah, ada yang mencadangkan agar pemuda berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Ada juga yang turut menitipkan pesanan agar pemuda berkenaan selepas ini meninggalkan nombor telefon bagi memudahkan urusan.
Berikut antara komen pengguna Facebook:
“Masuk dalam group WhatsApp, check CCTV, buat laporan polis.”