Lelaki secara sukarela kawal lalu lintas kerana lampu isyarat rosak raih pujian ramai.
Seorang lelaki mendapat penghargaan dan pujian daripada penduduk apabila secara sukarela membantu mengawal lalu lintas di simpang empat Bandar Seri Putra, Bangi berikutan masalah lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Difahamkan, simpang empat tersebut merupakan laluan utama bagi penduduk di kawasan seperti Bangi Lama, Bandar Seri Putra, Bandar Bukit Mahkota, Bandar Puteri Bangi, dan Bangi Avenue untuk ke Tol Putra Mahkota, Lebuh Raya Utara-Selatan.
Bagaimanapun, kerosakan lampu isyarat di situ pada pagi tadi menyebabkan kesesakan teruk.
Berikutan itu, seorang penunggang motosikal yang dipercayai penduduk sekitar bertindak mengawal lalu lintas, sekaligus memudahkan orang ramai yang mahu melaksanakan urusan pagi, termasuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah.
“Hero BSP (Bandar Seri Putra). Warga BSP dan sekitarnya merakamkan ribuan terima kasih kepada brother ni kerana tampil membantu menjaga trafik ketika lampu isyarat tidak berfungsi pagi tadi. Andalah wira yang tidak didendang.
“Banyak mesej terima kasih telah dikongsi warga maya kerana brother ni berselipar je membantu menyuraikan trafik di simpang empat tersebut. Semoga usaha brother ni diberi balasan yang baik oleh-Nya. Thank you bro,” menurut hantaran di Facebook Info Penduduk Bandar Seri Putra.
Dalam pada itu, pengguna media sosial turut berterima kasih kepada lelaki tersebut yang memudahkan urusan penduduk sekitar Bangi.
“Tak ada brother ni tadi, ramai orang lambat masuk pejabat. Terima kasih banyak-banyak,” komen Radin Fakhrurrazi.
“Nampak dia pagi tadi. Terima kasih banyak-banyak,” kata Anas Haqimi.
“Terima kasih bang kerana memudahkan urusan trafik tadi. Saya sempat turunkan tingkap ucapkan terima kasih banyak-banyak,” ujar Ibu Ibrahim Ats-tsalist.
“Terima kasih banyak-banyak atas bantuan encik pagi tadi,” komen Linda Malik.